PLKN, BTN mansuh, kata Syed Saddiq

PLKN, BTN mansuh, kata Syed Saddiq

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pegawai awam yang bertugas dalam 2 program kerajaan itu akan diserap ke kementerian beliau.

Free Malaysia Today
Syed Saddiq berkata keputusan itu dibuat bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan membolehkan lebih perhatian diberikan kepada usaha menamatkan perkhidmatan lantikan politik.
KUALA LUMPUR:
Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini mengesahkan pemansuhan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Biro Tata Negara (BTN).

Beliau berkata, penjawat awam yang ditugaskan di 2 inisiatif kerajaan itu akan diserapkan ke dalam kementerian beliau.

Bercakap kepada pemberita di bangunan Parlimen, Syed Saddiq berkata keputusan itu dibuat bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan membolehkan lebih perhatian diberikan kepada usaha menamatkan perkhidmatan lantikan politik.

“Kami bercadang menstruktur semula dan mengurangkan kos di sesetengah bahagian kerana kami dapati 50% daripada peruntukan belanjawan digunakan untuk membayar sewa kem dan pengangkutan.

“Proses ini tidak dibuat melalui tender terbuka,” katanya. “Banyak daripada urus niaga ini dibuat melampaui harga pasaran, jadi kedua-dua entiti ini perlu distruktur semula.”

Beliau berkata kementerian tidak akan bertindak terburu-buru menukar kakitangan, tetapi akan mematuhi proses sah dalam mengenal pasti dan menilai mereka yang diambil bekerja di bawah PLKN dan BTN.

“Kita perlu mengenal pasti dan membezakan antara kakitangan kontrak dengan yang tetap.

“Buat masa ini kita tidak dapat mendedahkan angka akhir kakitangan yang akan diserap ke dalam kementerian,” kata beliau.

Syed Saddiq menambah, satu lagi inisiatif di bawah kerajaan lepas, iaitu Belia 1Malaysia (1M4U) juga sedang dikaji semula.

“Kita mahu menghidupkan semula fungsi asal 1M4U, yang bertujuan membangunkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia.

“Kami mahu memastikan ia tidak lagi dipengaruhi campur tangan politik,” katanya, dan menambah kementerian akan melibatkan kumpulan berkepentingan yang terlibat secara aktif dalam kerja-kerja sukarela.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.