Najib: Ya, hutang bertambah tetapi Malaysia hindari krisis ekonomi

Najib: Ya, hutang bertambah tetapi Malaysia hindari krisis ekonomi

Bekas perdana menteri berkata kegagalan menghebohkan usaha BN menyebabkan dia dikecam kerana peningkatan hutang negara.

Free Malaysia Today
Najib Razak berkata pakej perangsang ekonomi perlu untuk mendepani kemelesetan ekonomi.
PETALING JAYA:
Datuk Seri Najib Razak mempertahankan beberapa dasar ekonomi yang dilaksanakan semasa beliau mengetuai pentadbiran negara, mengatakan langkah-langkah itu menghindari Malaysia daripada mengalami krisis kewangan terburuk dalam sejarah negara.

Bagaimanapun bekas perdana menteri itu akui 2 pakej perangsang ekonomi yang dilaksanakan semasa beliau menjadi menteri kewangan menyaksikan nisbah hutang berbanding keluaran dalam negeri kasar meningkat 11% pada 2009.

Ia juga bertambah sedikit pada 2010 dan 2011 tetapi pakej perangsang itu masih perlu untuk mendepani kemelesetan ekonomi.

Najib berkata langkah yang diambil kerajaan Barisan Nasional (BN) membawa Malaysia menikmati kadar pertumbuhan ekonomi antara yang tertinggi di dunia sepanjang 9 tahun ini.

Meskipun begitu, kerajaan BN dihentam kerana peningkatan hutang negara.

“Saya terus dikecam kononnya mahu memufliskan negara walaupun ianya ialah untuk menyelamatkan negara dan kita tidak terjatuh ke dalam krisis yang lebih teruk dari tahun 1998 di mana sistem perbankan dan industri kita hampir lumpuh sepenuhnya,” katanya di Facebook.

Bekas menteri kewangan kemudian membidas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pengkritik Najib paling lantang sebelum kekalahan BN pada pilihan raya umum 9 Mei.

Najib berkata kritikan terhadap kerajaan BN yang dipimpinnya mungkin kerana mereka tidak tahu bagaimana menghebohkan usaha mereka dan oleh itu ramai rakyat tidak tahu keadaan ekonomi antara 2008 dan 2009.

“Tidak seperti perdana menteri pada 1998 yang sering membangkitkan usaha beliau untuk menyelamatkan negara dari perdana menteri pada 1997.

“Lanjutan itu, saya berterusan dikecam kerana menaikkan hutang negara walhal kita berjaya menyelamatkan negara dari krisis ekonomi yang mungkin lebih teruk dari 1998.”

Dr Mahathir adalah perdana menteri dari 1981 hingga 2003.

Kerajaan Pakatan Harapan berkata negara menanggung hutang sehingga RM1 trilion.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.