
Ibu mangsa Belle Chong Ka Yee dari Alor Star memberitahu FMT, anaknya ditinggalkan di bawah penjagaan pengasuh kurang dari 12 jam dan tidak menyangka kejadian itu boleh berlaku.
“Saya tinggalkan dia (anak) di rumah pengasuh lebih kurang jam 11.00 pagi dan ambil semula pada jam 9.30 malam.
“Apabila tiba di rumah, suami saya mendapati kesan lebam yang ketara di muka, leher dan tangannya. Kami segera bawa dia ke hospital pakar untuk mendapatkan pemeriksaan,” katanya.
Belle berkata, selepas mendapatkan pemeriksaan di klinik pakar di Alor Star, doktor mengesahkan kesan lebam itu disebabkan didera atau dipukul.
“Saya tidak boleh buat laporan polis sekarang kerana doktor menasihati supaya mendapatkan pemeriksaan kesihatan daripada klinik kerajaan terlebih dahulu. Selepas berbincang dengan suami, kami terus ke rumah pengasuh.
Bagaimanapun, katanya, beliau dan suami pula yang dipersalahkan dan dituduh menyakiti anak mereka sendiri.
“Mereka kata saya dan suami yang salah. Alasan mereka, suami saya memandu kereta sehingga menyebabkan anak terjatuh dan mendapat kesan lebam,” katanya.
Belle berkata, beliau menempatkan anaknya itu di bawah jagaan pengasuh terbabit yang dikenalinya menerusi aplikasi Wechat sebelum itu.
Kejadian tersebut menghangatkan media sosial apabila wajah Mi En (mangsa) tersebar luas di Facebook dan WeChat, bahkan terdapat beberapa pihak turut mengaku anak mereka pernah menjadi mangsa pengasuh yang sama.
Belle berkata anak perempuannya itu kini ditahan di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Star untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.
“Doktor memberitahu besar kemungkinan anak saya akan mengalami masalah pendengaran ekoran kejadian ini serta sedikit kesan trauma,” katanya.