Mujahid: Pertemuan dengan Nisha Ayub bukan isyarat setuju perjuangan LGBT

Mujahid: Pertemuan dengan Nisha Ayub bukan isyarat setuju perjuangan LGBT

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, pertemuan semalam untuk memahami isu LGBT dan mengatasi masalah diskriminasi terhadap golongan itu, termasuk soal agama dan beribadat.

Free Malaysia Today
Mujahid Yusof Rawa (dua kanan) bersalaman dengan Nisha Ayub selepas mengadakan pertemuan di Putrajaya, semalam. Turut hadir ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh (tiga dari kiri) dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Mohamad Nordin Ibrahim (kiri). (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa meminta masyarakat tidak merumuskan pertemuannya dengan wakil komuniti transgender, Nisha Ayub sebagai isyarat beliau bersetuju dan mengiakan perjuangan serta perbuatan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT).

Katanya, pertemuan di Kompleks Islam Malaysia semalam atas permintaan aktivis transgender itu dan beliau menerima kehadiran Nisha bagi menyelami serta memahami isu berkaitan transgender, khususnya peranan institusi agama dalam menangani permasalahan berkenaan.

“Pertemuan itu lebih kepada perbincangan bagaimana untuk mengatasi masalah diskriminasi terhadap golongan mak nyah serta bagaimana untuk mengatasi masalah yang dihadapi mereka, termasuk penghayatan soal-soal agama dan beribadat secara khusus.

“Pada pertemuan semalam juga tiada langsung isu berkaitan hak sama rata melibatkan perkahwinan sama jantina dibangkitkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mujahid berkata, Nisha sendiri menegaskan dirinya bukan ikon komuniti LGBT, sebaliknya hanya aktivis yang memperjuangkan nasib golongan mak nyah yang sering disisihkan, selain memberi galakan agar mereka meninggalkan “industri seks”.

Katanya, aktivis itu juga memaklumkan tidak kisah gambarnya yang dipaparkan dalam satu pameran fotografi di George Town, Pulau Pinang, diturunkan selain mengakui tidak dimaklumkan mengenai penggunaan gambar tersebut.

Mujahid berkata, pihaknya tidak boleh mengamalkan sikap pilih kasih dalam menjalankan kerja dakwah seperti mana Islam tidak menggalakkan umatnya menyakiti manusia lain.

Beliau berkata, perkara paling utama perlu dilakukan ialah menghapuskan budaya benci dan diskriminasi terhadap komuniti itu, terutamanya di tempat kerja serta tempat awam.

Katanya, hak mereka sebagai rakyat Malaysia tidak boleh dinafikan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.