
Melalui Instagramnya, kedutaan itu memaparkan gambar Nisha Ayub memegang Jalur Gemilang yang diturunkan dari pameran “Stripes and Strokes”, dengan berkata, “Gambar memberi seribu pengertian, tetapi kata-kata lebih kuat.
“Kami tetap berbangga dengan Pemenang Anugerah Wanita Berani Antarabangsa 2016 #NishaAyub dan @pangkheeteik PangKheeTeik dan usaha mereka mempromosikan #tolerance (toleransi) dan #acceptance (penerimaan).”
Potret Nisha dan rakan aktivisnya, Pang Khee Teik pada awalnya adalah sebahagian daripada potret yang dipamerkan yang menonjolkan karya jurugambar, Mooreyameen Mohamad.
Bagaimanapun, ia diturunkan berikutan aduan daripada Jabatan Perdana Menteri dan orang ramai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mujahid Yusof Rawa berkata beliau mengarahkan supaya potret itu diturunkan kerana melanggar polisi kerajaan.
Beliau berkata gambar itu seolah-olah mempromosikan budaya LGBT.
Insiden ini mencetuskan tindak balas, termasuk aktivis Datin Paduka Marina Mahathir dan peguam Siti Kasim, yang meminta pihak penganjur turut menurunkan gambar mereka dari pameran itu.