PIL1-ECRL: KM Pulau Pinang minta Najib tidak kelirukan orang awam

PIL1-ECRL: KM Pulau Pinang minta Najib tidak kelirukan orang awam

Kos PIL 1 ketika ini adalah anggaran awal dan akan dimuktamadkan selepas tender terbuka kompetitif diberikan kepada kontraktor pakej kerja berkelayakan.

Free Malaysia Today
Chow berkata, terdapat perbezaan besar antara lebuh raya dan landasan kereta api dan membandingkan kos antara projek infrastruktur berbeza itu umpama membandingkan oren dengan epal.
GEORGE TOWN:
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow meminta bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mengelirukan orang awam dengan memutar-belitkan apa yang beliau sifatkan sebagai 2 projek infrastruktur yang amat berbeza, iaitu Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1) dan projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL).

Beliau berkata terdapat perbezaan besar antara lebuh raya dan landasan kereta api dan membandingkan kos antara kedua-dua projek infrastruktur berbeza itu adalah umpama membandingkan oren dengan epal.

Kos PIL 1 pada ketika ini adalah anggaran awal dan hanya akan dimuktamadkan selepas tender terbuka kompetitif diberikan kepada kontraktor pakej kerja berkelayakan, katanya.

“Secara perbandingan, pemberian projek ECRL telah dimuktamadkan tanpa tender terbuka kompetitif dan, sepertimana yang kita tahu, projek itu dibiayai oleh siri pinjaman daripada China dengan kontraktor China akan mendapat sebahagian projek itu,” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang hari ini.

Chow berkata kos ECRL, dilaporkan RM66 bilion, dijangka meningkat jika dimasukkan kos perolehan tanah, yang merupakan kos kerajaan.

“Tanpa alasan kukuh untuk membuat perbandingan, orang awam mungkin terkeliru oleh penegasan yang diputar belit oleh individu tertentu yang membandingkan kos bagi setiap kilometer antara lebuh raya dan landasan kereta api,” katanya.

Chow, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Kota, mengulas kenyataan Najib semalam yang mempertikaikan kos projek PIL 1 yang didakwanya amat mahal berbanding dengan projek ECRL dan projek Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex).

Chow berkata PIL 1 juga akan dibiayai sendiri sepenuhnya menerusi penambakan tanah dan kos penambakan juga akan dijamin oleh kontraktor.

“PIL 1 dibiayai sepenuhnya dengan pendapatan dijana daripada Projek Penambakan Selatan Pulau Pinang tetapi ECRL dibiayai pinjaman asing yang akan dibayar dengan wang pembayar cukai,” katanya.

Membandingkan PIL 1 dengan Kidex, Chow berkata Kidex ialah lebuh raya bertingkat sepenuhnya dengan 4 lorong dan penjajaran PIL 1 kebanyakannya membabitkan terowong dengan kos terowong itu sekurang-kurangnya lebih 2 kali ganda daripada lebuh raya bertingkat.

“Jika kita hanya ambil kira kadar unit seksyen PIL 1 dan didarab dengan jarak Kidex, kos pembinaannya hampir sama pada 2013. Malah, kos anggaran PIL 1 akan lebih murah daripada Kidex dengan mengambil kira harga ketika ini,” katanya.

Cadangan projek lebuhraya PIL 1 akan dilaksanakan dalam fasa pertama Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

PTMP ialah projek inisiatif negeri dengan kos dianggarkan RM46 bilion dan merangkumi terowong dasar laut menghubungkan pulau ke tanah besar, LRT, monorel serta rangkaian laluan bas yang luas di pulau dan tanah besar.

Najib: Pan Island Link lebih mahal daripada ECRL dibantah PH

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.