
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Datuk Abdul Halim Mansor berkata universiti sepatutnya mementingkan praktikal lebih daripada teori di mana semua universiti di Malaysia masih mempraktikkan 60% teori dan 40% praktikal.
“Majikan sekarang lihat graduan tidak mempunyai kualiti, contohnya semasa temuduga, graduan boleh menulis dalam bahasa Inggeris tetapi tidak boleh bertutur.
“Saya menyarankan kepada semua universiti di Malaysia untuk melihat aspek praktikal lebih daripada teori supaya dapat membantu mahasiswa mempunyai banyak kemahiran yang boleh digunakan semasa kerja,” katanya kepada FMT.
Beliau menambah, kerajaan memainkan peranan penting untuk mengubah sistem universiti di Malaysia dengan mengadakan Khidmat Tenaga Negara melibatkan kementerian yang berkaitan untuk memberi latihan selepas tamat Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan pengajian di universiti.
“Program seperti ini sudah banyak dijalankan di luar negara, di mana pelajar di sana dilatih selama setahun untuk berkerja dalam pelbagai jenis sektor di negara mereka atau pun di tempat lain dengan gaji minimum.
“Semua pelajar yang menamatkan pelajaran wajib melaporkan kepada jabatan buruh, pelajaran dan tenaga kerja untuk menukar tenaga mereka dari tenaga belajar kepada tenaga kerja kebangsaan.
Katanya, program yang dijalankan dalam tempoh setahun itu, membolehkan kerajaan memperoleh setengah juta tenaga kerja dalam pelbagai sektor serta membantu masalah kekurangan tenaga kerja di Malaysia.
“Dalam setahun program ini akan memberi manfaat kepada negara iaitu ia dapat memberi jumlah tenaga kerja yang terlatih kepada majikan seterusnya graduan boleh memohon kerja mengikut jurusan yang mereka ceburi kerana sudah terlatih dalam pelbagai bidang,” katanya.
Semalam, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan kerajaan memberi insentif iaitu pelepasan cukai kepada majikan yang ingin mengambil graduan pertama kali berkerja.
Pengarah Eksekutif MEF, Datuk Shamsuddin Bardan berkata, majikan enggan mengambil graduan baru kerana mereka tidak mempunyai pengalaman kerja.
Beliau juga menasihati graduan menjadi lebih fleksibel dan teratur apabila bertemu dengan majikan yang mempunyai potensi.
“Kegagalan komunikasi dan kegagalan untuk menarik perhatian majikan adalah antara sebab mengapa syarikat enggan ambil graduan bekerja,” katanya.

Sementara, bekas presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhd Syahmi Aiman Sulaiman berkata, segulung ijazah tidak lagi menjadi jaminan kepada graduan memperoleh pekerjaan pada zaman sekarang.
Beliau berkata, kemahiran “soft skill” memainkan peranan yang sangat penting dan kunci untuk mendapatkan kerja.
“Sebenarnya, tidak adil untuk saya katakan semua graduan tidak pandai berkomunikasi atau tidak fleksibel. Saya yakin kebanyakan mahasiswa mempunyai kemahiran komunikasi atau fleksibel dengan kerja jika diberi peluang.
“Mungkin ada segelintir mahasiswa kurang keyakinan untuk berkomunikasi disebabkan kurang pengalaman dan bukan disebabkan tidak pandai komunikasi,” katanya.
Graduan akui jalani latihan industri

Seorang graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Noor Farhany Abdul Rashid, 23, berkata graduan tidak mempunyai pengalaman bekerja kerana majikan tidak memberi peluang untuk mereka mencuba.
“Kebanyakan graduan sudah menjalani latihan industri sebelum menamatkan pengajian. Secara tidak langsung, graduan sudah merasai pengalaman bekerja di pejabat atau industri.”
Sementara, Omar Mohammad, 23, dari Universiti Sains Malaysia (USM) berkata terdapat satu polisi di mana graduan sekarang akan cepat bertukar kerja menyebabkan majikan tidak mahu mengambil mereka bekerja.

“Majikan melihat graduan seperti itu, kerana mereka tidak mampu lakukan tugasan yang diberikan. Semua graduan perlu ubah dan mampu buat kerja tersebut bukannya pada ‘pointer’ 4.0 sahaja.
“Komunikasi amat penting, kemahiran (soft skill) belum diasah. Kemahiran bercakap, menyampai maklumat, penggunaan komputer dan ‘software’ perlu tahu untuk berikan nilai kita pada majikan,” katanya.
PH perlu jelaskan hubungannya dengan IRI, kata Tawfik Ismail