Lim mahu 2 siasatan terhadap Irwan Serigar

Lim mahu 2 siasatan terhadap Irwan Serigar

Menteri akan minta kerajaan siasat kenyataan Irwan secara dalaman dan laporan akan diserah kepada perdana menteri untuk siasatan terbuka.

KUALA LUMPUR:
Menteri Kewangan Lim Guan Eng mahu Tan Sri Mohd Irwan Siregar Abdullah disiasat secara dalaman, disusuli dengan siasatan terbuka, selepas bekas ketua setiausaha Perbendaharaan itu berkata wang akaun amanah GST tidak hilang.

Lim akan meminta kerajaan menyiasat kenyataan Irwan secara dalaman, dan laporan siasatan itu akan diserah kepada perdana menteri untuk siasatan terbuka.

“Beliau perlu menjelaskan mengapa beliau meluluskan keputusan untuk tidak memasukkan wang itu ke dalam akaun amanah, dan nyatakan siapa yang diberikan dan siapa yang beri kelulusan,” katanya di Dewan Rakyat.

Akaun amanah itu adalah akaun di mana kerajaan mendepositkan wang untuk membayar balik tuntutan para peniaga.

Lim berkata demikian selepas Irwan hari ini menjelaskan tiada wang hilang daripada akaun amanah itu kerana semua kutipan perlu dimasukkan dahulu ke Kumpulan Wang Disatukan.

Irwan merujuk prosedur dan berkata wang akan dimasukkan ke akaun itu selepas mesyuarat pengurusan aliran tunai kerajaan persekutuan membuat keputusan berdasarkan kepada keperluan kastam, hasil audit ke atas tuntutan bayaran balik dan kedudukan hasil kerajaan.

Mesyuarat itu diadakan setiap bulan, kata Irwan.

Semalam Lim mendedahkan akaun amanah itu mengalami kekurangan sebanyak RM18 bilion. Menurut Lim, wang itu hilang semasa pentadbiran Barisan Nasional dan sepatutnya dikembalikan kepada peniaga 2 minggu selepas memfailkan tuntutan.

Ditemui pemberita di ruang legar Parlimen, Lim berkata Irwan perlu memberitahu kerajaan di mana RM18 bilion itu berada.

“Wang itu tiada di sana. Jika ada, kita boleh membayar balik sekarang. Jika Irwan kata ada di sana, kita mahu dia jelaskan di mana ia disorokkan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.