
Dalam kenyataan hari ini, KPS berkata cadangan pengambilalihan itu yang diumumkan 3 Ogos lepas, membabitkan tawaran Air Selangor mengambil alih keseluruhan 50 juta saham biasa dan 350 juta saham pinjaman tidak bercagar boleh tebus (RULS) SPLASH pada jumlah yang dipertimbangkan sebanyak RM2.55 bilion.
SPLASH Holdings dan Air Selangor dijangka memuktamadkan terma dan syarat perjanjian jual beli SPLASH menerusi perjanjian pembelian saham menjelang 14 September ini.
Memandangkan SPLASH Holdings sebuah syarikat sekutu KPS, penerimaan tawaran pengambilalihan SPLASH tidak memerlukan kelulusan daripada pemegang saham KPS.
Pembelian SPLASH oleh Air Selangor sebahagian daripada pengukuhan serta penstrukturan semula industri air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya oleh kerajaan negeri dan persekutuan.
Langkah itu juga dilaksanakan bagi meningkatkan simpanan air dan mengurangkan Air Tidak Berhasil atau NRW (air dirawat yang hilang sebelum diterima pengguna) selain langkah mencapai bekalan air tanpa gangguan di Lembah Klang serta seluruh negara.