
Presidennya Eric Lim Chin Heng dalam satu kenyataan hari ini berkata pasaran hartanah mungkin telah mencecah paras terendahnya tahun lepas dengan jumlah urus niaga berada di tahap terendah sejak 2012 sebanyak 311,824.
Beliau berkata pelabur hartanah yang memainkan peranan penting dalam pertumbuhan pasaran hartanah kini mula berhasrat untuk memasuki semula pasaran.
Lim membayangkan pasaran akan terus mengalami “pertumbuhan keyakinan” apabila asas semakin bertambah baik di bawah pentadbiran kerajaan baru dan menjangkakan kerajaan akan melaksanakan dasar baru bagi meningkatkan pasaran hartanah.
“Dua pelan utama termasuklah rancangan untuk memperkenalkan dan menguruskan bekalan rumah mampu milik dan belanjawan akan datang akan menjadi ujian bagi kerajaan baru untuk menangani masalah industri hartanah,” katanya.
Bagi membantu merangsangkan lagi keyakinan, MIEA akan menumpukan kepada kandungan Program Pembangunan Berterusan (CDP) mereka untuk memperkasakan 18,000 ahli aktif industri hartanah dengan pengetahuan baru dan menambah baik kemahiran dengan penekanan kepada profesionalisme dan integriti.
CDP diakreditasikan oleh Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Hartanah Malaysia.
“Kami mahu menyediakan peluang kepada perunding hartanah kami untuk terus bertahan dalam pasaran yang mencabar dan bersiap sedia meraih manfaat apabila pasaran dijangka meningkat semula pada 2019,” katanya.