
Lim Guan Eng berkata, pembayaran peringkat ke-3 BSH akan dibuat mulai 15 Ogos ini untuk membantu rakyat membuat persiapan bagi meraikan Hari Raya Aidiladha seminggu kemudian.
“Perlu ditegaskan pembayaran RM1.6 bilion dibuat dalam keadaan kekangan kewangan kerana hutang kerajaan persekutuan yang mencecah RM1 trilion ekoran skandal kewangan 1MDB dan salah urus tadbir.
“Walaupun GST (cukai barang dan perkhidmatan) sudah dimansuhkan, kerajaan persekutuan masih tidak mengalami kebankrapan seperti didakwa kerajaan terdahulu, sebaliknya masih mampu terus memberi BSH walaupun tanpa hasil cukai GST,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Lim berkata, subsidi petrol sebanyak RM3 bilion turut disediakan sehingga akhir tahun ini dalam usaha menstabilkan harga RON95 dan diesel pada tahap RM2.20 serta RM2.18 seliter, ketika harga minyak antarabangsa meningkat 42% kepada AS$74 setong berbanding anggaran AS$52 setong sebelum ini.
Katanya, kerajaan akan cuba sedaya upaya memberikan keutamaan kepada rakyat, khususnya golongan kurang berkemampuan.
Beliau berkata, pembayaran BSH akan dikreditkan terus ke akaun penerima.
“Bagi mereka yang tiada nombor akaun, surat kelulusan akan diposkan terus ke alamat penerima dan seterusnya boleh ditunaikan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional yang berhampiran.”