Pricewaterhouse Coopers dilantik siasat salah laku USAS

Pricewaterhouse Coopers dilantik siasat salah laku USAS

Pentauliahan firma itu dibuat oleh Lembaga Penyiasatan Khas diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Mohd Gazali Jalal dan dianggotai Dr Afifi Al-Akiti dan Mustafa Mohd Nor, 3 minggu lalu.

Free Malaysia Today
Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari memaklumkan antara aduan salah lalu dilaporkan termasuk pemberhentian kakitangan tanpa sebab munasabah selain pemberian kontrak pengendali kantin yang meragukan. (Gambar Reuters)
IPOH:
Firma audit terkemuka Pricewaterhouse Coopers dilantik bagi menjalankan siasatan bebas terhadap pelbagai pertuduhan membabitkan pengurusan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar.

Pentauliahan firma itu dibuat oleh Lembaga Penyiasatan Khas yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohd Gazali Jalal dan dianggotai Orang Kaya-kaya Imam Paduka Tuan (Perak) Datuk Dr Afifi Al-Akiti dan Datuk Mustafa Mohd Nor, 3 minggu lalu.

Menurut kenyataan Lembaga Pengarah Kolej Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS) Berhad, pada 13 Julai lalu, pihaknya menerima memorandum daripada Kesatuan Staf Sokongan USAS; Kesatuan Kakitangan Akademik USAS dan Jawatankuasa Badan Bertindak Kebajikan Staf USAS bertarikh 27 dan 28 Jun.

“Memorandum itu mengandungi pelbagai pertuduhan membabitkan pengurusan tertinggi USAS.

“Lanjutan daripada memorandum tersebut, lembaga pengarah mengambil langkah segera 3 minggu lalu dengan mewujudkan Lembaga Penyiasatan Khas,” demikian menurut kenyataan itu di sini, semalam.

Tambah kenyaaan itu, Naib Canselor USAS Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi mengemukakan permohonan untuk bercuti mulai 6 Ogos sehingga siasatan selesai agar semuanya berjalan lancar.

“Beliau juga secara sukarela menyatakan akan bekerjasama dalam siasatan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Hal Ehwal Pelajar USAS Prof Dr Wan Sabri Wan Yusof akan menjalankan tugas Naib Canselor.

“Kami pohon kerjasama semua pihak supaya tidak mengulangi spekulasi berhubung hal ini, yang kami anggap sangat serius sehingga siasatan bebas selesai,” tambah kenyataan tersebut.

Exco Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr Abdul Aziz Bari memaklumkan antara aduan salah lalu yang dilaporkan termasuk pemberhentian kakitangan tanpa sebab munasabah selain pemberian kontrak pengendali kantin yang meragukan.

USAS dinaik taraf sebagai universiti daripada kolej pada Jun 2016 dengan pengumuman mengenainya dibuat perdana menteri ketika itu Datuk Seri Najib Razak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.