
“Hari ini apabila pembelian SPLASH oleh Syarikat Air Selangor (Air Selangor) berjumlah RM2.55 bilion dimuktamadkan, ianya menjadikan rakyat Selangor membayar lebih 10 kali ganda dari apa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri pada 2013.
“Strategi kerajaan negeri hari ini memberi peluang kepada pemilik saham SPLASH mendapat keuntungan dan pampasan yang berlebihan.
“Pada masa yang sama, ia juga meletakkan beban serta tanggungjawab untuk pembayaran tersebut ke atas rakyat dengan mengenakan tarif yang tinggi,” katanya menerusi kiriman Facebook.
Beliau berkata demikian mengulas pengumuman Air Selangor membayar RM2.55 bilion untuk mengambil alih SPLASH hari ini.
Pengumuman itu dibuat 2 hari selepas bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mendakwa negeri itu akan membeli SPLASH pada harga RM2.7 bilion dalam urus niaga yang didakwa menguntungkan seorang “Tan Sri” yang memiliki 30% saham dalam syarikat itu.
Proses penstrukturan semula industri air di Selangor tertangguh sekian lama susulan kegagalan kerajaan negeri dan persekutuan semasa pentadbiran Barisan Nasional mencapai kata sepakat berkaitan nilai tawaran pengambilalihan SPLASH dan kerajaan negeri hanya berjaya menyelesaikan pengambilalihan 3 syarikat konsesi air lain.
Syarikat konsesi itu ialah Syabas dan Puncak Niaga Sdn Bhd, masing-masing berjumlah RM2.47 bilion dan RM3.11 bilion pada Mei 2014, serta Konsortium Abass Sdn Bhd pada harga RM900 juta.
Sejak pengambilalihan 3 syarikat konsesi itu, Air Selangor membina 2 loji rawatan air di Semenyih 2 dan Labohan Dagang.