
Beliau yang juga pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh di Jalan Kebun berkata, penyebaran video itu ketika tempoh berkempen PRK Sungai Kandis berbaki 2 hari bertujuan mencalarkan imejnya sebagai calon dan pendakwah.
“Saya lihat sepintas lalu pada malam tadi, kalau lihat video itu sendiri, ia bukannya saya.
“Pengundi DUN Sungai Kandis kenal saya, saya bukan kaki joget dan bukan kaki kelab.
“Kalau ini masih berterusan, saya akan ambil tindakan selanjutnya, sama ada buat laporan polis atau sebaliknya,” katanya di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam di Kampung Sungai Kandis, hari ini.
Zawawi menasihatkan pengundi DUN Sungai Kandis tidak mempercayai fitnah itu dan semua pihak perlu mengelakkan budaya fitnah untuk bersaing dalam sistem demokrasi yang adil dan bersih.
Terdahulu, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lokman Noor Adam mendakwa mempunyai sebuah rakaman video dipercayai Zawawi sedang menari.
“Bila ada orang tunjukkan kepada saya, saya tidak akan keluarkan sebab ini mengaibkan Zawawi kerana ada satu lagi video di mana ustaz juga berdansa. Saya katakan tidak mungkin Zawawi berjoget.
“Malangnya, ada di antara orang Zawawi dan PKR yang menjawab ini adalah sewaktu di PRK Ijok. Mereka katakan ini cerita lama, jadi tidak perlu dijadikan isu.
“Saya sangat terkejut kerana tidak mungkin Zawawi berjoget. Kita tahu dia ini belajar di Mesir, tidak mungkin dia begitu, namun saya tidak akan keluarkan videonya kerana ini isu peribadinya.”
PRK Sungai Kandis akan diadakan Sabtu ini dan ia adalah PRK pertama selepas pilihan raya umum ke-14, susulan kematian penyandangnya Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma pada 2 Julai lepas.
Zawawi bakal berdepan tentangan Lokman dan calon bebas, K Murthy.