
Beliau berkata tindakan Dr Mahathir itu juga jelas bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang berjanji akan melantik profesional dan bukannya orang politik dalam syarikat milik kerajaan (GLC).
“Cucuk-cucuk bagi ahli lembaga pengarah (Khazanah) keluar sebab nak lantik orang baru. Tendang keluar bekas pengarah urusan Khazanah, Tan Sri Azman Mokhtar, Datuk Seri Nazir Razak dan orang profesional.
“Kemudian dia teropong jumpa dalam Khazanah, banyak harta karun sebab banyak syarikat dalam Khazanah untung.
“Lepas itu lantik jadi pengerusi, duduk dalam lubuk wang dalam Khazanah dan lantik seorang lagi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali duduk dalam Khazanah. Janji entah ke mana,” katanya dalam satu ceramah perdana bersama calon Barisan Nasional untuk pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis, Datuk Lokman Noor Adam di Jalan Kebun, di sini malam tadi.
Pada 30 Julai lalu, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengumumkan Dr Mahathir dilantik pengerusi Khazanah yang baru, menggantikan Datuk Seri Najib Razak yang meletak jawatan 31 Mei lepas.
Pengumuman ini menyusuli peletakan jawatan beramai-ramai ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan itu pada 26 Julai lepas.
Selain Azmin, turut dilantik menganggotai lembaga pengarah Khazanah ialah ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Mohd Hassan Marican; bekas timbalan gabenor Bank Negara, Sukudhew (Sukhdave) Singh; dan bekas pengarah eksekutif di pejabat pengerusi Suruhanjaya Sekuriti, Goh Ching Yin.
Sebelum ini, Azman dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Tan Sri Mohammed Nor Md Yusof meletak jawatan bersama ahli lembaga lain selepas perdana menteri secara terbuka mengkritik syarikat itu menyimpang daripada tujuan asal.
Pengarah lain adalah bekas tokoh perbankan Tan Sri Mohamed Azman Yahya dan Datuk Mohammed Azlan Hashim; bekas pegawai bank pusat, Andrew Sheng Len Tao yang sebelum ini bertugas sebagai timbalan ketua eksekutif Pihak Berkuasa Kewangan Hong Kong; Tan Sri Raja Arshad Raja Uda, bekas pengerusi dan rakan kongsi kanan firma PriceWaterHouseCooper Malaysia; Nazir yang merupakan pengerusi kumpulan CIMB dan adik kepada Najib; Datuk Nirmala Menon, eksekutif sektor insurans dan tokoh perbankan, Yeo Kar Peng.
Pasukan itu terdiri daripada tokoh korporat Malaysia paling penting dan proses mencari pengganti mereka, sekiranya berlaku, akan diperhati secara dekat oleh pelabur tempatan dan luar negara.