Apa salahnya saya jadi pengerusi Khazanah, soal Dr M

Apa salahnya saya jadi pengerusi Khazanah, soal Dr M

Perdana menteri berkata, pelantikannya dalam Khazanah bertujuan mengembalikan syarikat milik kerajaan itu ke landasan betul.

KUALA LUMPUR:
Tun Dr Mahathir Mohamad menjawab kritikan terhadap pelantikannya sebagai pengerusi Khazanah Nasional Berhad dengan berkata, beliau cuba mengembalikan syarikat milik kerajaan itu ke landasan asal.

“Kami cuba mengubah Khazanah untuk menumpukan isu tertentu yang mana saya tahu.

“Saya juga yang mulakan Khazanah, jadi kita mahu meletakkannya dalam landasan (betul),” katanya selepas mengadakan mesyuarat dengan pemimpin tertinggi Pakatan Harapan di bangunan Parlimen, hari ini.

Terdahulu, beberapa rakaman audio yang menyerupai suara Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertikaikan keputusan Dr Mahathir melantik dirinya mengetuai Khazanah.

“Dia lantik diri dia jadi pengerusi Khazanah. Apa ni, rakyat rugi, MAS rugi, Khazanah rugi,” demikian menurut rakaman audio yang menyerupai suara ketua umum PKR itu.

Perdana menteri menjawab kritikan itu dengan mempersoalkan apa salahnya beliau mempengerusikan Khazanah.

“Apa masalah saya jadi pengerusi? Saya bukan jadi ketua pegawai eksekutif, bukan saya yang akan dapat dan dibayar RM7 juta.”

Isnin lalu, Jabatan Perdana Menteri mengumumkan Dr Mahathir dilantik sebagai pengerusi Khazanah bagi menggantikan Datuk Seri Najib Razak yang meletak jawatan 31 Mei lalu, manakala Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali dan ahli Majlis Penasihat Kerajaan, Tan Sri Mohd Hassan Marican menganggotai lembaga pengarah syarikat itu.

Mereka mengisi kekosongan ditinggalkan 9 ahli lembaga pengarah yang meletak jawatan beramai-ramai pada 26 Julai lalu, selepas Dr Mahathir secara terbuka mengkritik syarikat itu menyimpang daripada tujuan asal.

Sementara itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan hanya menghentikan langganan Utusan Malaysia di semua agensi dan institusi Kementerian Pendidikan, tetapi tidak melarang rakyat membaca akhbar itu di dalam atau luar sekolah.

“Pasal apa kita nak beli satu akhbar yang selalu hentam kita,” soalnya.

“Kita tak larang (baca Utusan Malaysia). Bukan kita nak tangkap, nak koyak, nak bakar, semua tak ada.”

Semalam, media melaporkan satu memo dikeluarkan pejabat menteri pendidikan untuk menghentikan segera langganan Utusan Malaysia di semua agensi, sekolah, universiti, kolej dan institusi di bawah Kementerian Pendidikan.

Memo itu dikatakan ditulis Penasihat Khas Menteri, Wan Saiful Wan Jan dan disampaikan kepada Ketua Setiausaha, Datuk Dr Mohd Ghazali Abas bertarikh 18 Julai lalu.

Menteri Pendidikan, Maszlee Malik bagaimanapun berkata, beliau tidak mendapat sebarang maklumat berhubung perkara itu dan akan membuat semakan semula dengan penasihat khasnya.

Mengenai lantikan politik yang belum menerima gaji selama 2 bulan, Dr Mahathir meminta mereka bersabar.

“Kita mengubah kerajaan selepas 60 tahun. Ia bukan sesuatu yang kita buat setiap hari, sekali dalam 60 tahun.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.