Peguam: Pemuda PH boleh gugur saman terhadap Najib berhubung IPIC

Peguam: Pemuda PH boleh gugur saman terhadap Najib berhubung IPIC

Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata ia susulan tindakan proaktif kerajaan PH menyiasat skandal 1MDB dan usaha mendapatkan kembali dana itu.

Free Malaysia Today
Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
PETALING JAYA:
Saman yang difailkan sekumpulan bekas pemimpin pembangkang terhadap bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dan 1MDB boleh diabaikan kerana Putrajaya telah mengambil langkah untuk bertindak terhadap mereka yang melanggar undang-undang, kata peguam.

Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata tidak ada sebab praktikal untuk mengekalkan tindakan itu berikutan perubahan dalam kerajaan selepas pilihan raya umum 9 Mei lalu.

“Najib dituduh melakukan pecah amanah dan salahguna kuasa berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya,” kata Haniff.

Tambahan pula, katanya, kerajaan Pakatan Harapan mengembalikan pasukan petugas khas untuk membantu polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam penyiasatan mereka terhadap 1MDB.

“Lembaga pengarah 1MDB yang baharu juga mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan dana 1MDB daripada individu yang terlibat secara langsung dalam skandal itu,” katanya kepada FMT.

Mahkamah Persekutuan dijadualkan mendengar permohonan rayuan pemimpin yang dikenali sebagai Gerakan Anak Muda Tolak Najib (Ganti), pada 13 Ogos ini.

Haniff berkata beliau akan mengambil arahan anak guamnya berdasarkan perkembangan baru-baru ini.

Beliau berkata Ganti memfailkan saman itu tahun lepas untuk mencabar perkara itu ke mahkamah kerana ketidakpastian terhadap pihak berkuasa pada masa itu.

Ganti mencabar Najib, kerajaan Malaysia dan 1MDB yang membuat pembayaran sebanyak AS$1.2 bilion (RM4.75 bilion) kepada International Petroleum Investment Co (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi.

Pada 9 Januari, hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menolak permohonan Najib, 1MDB dan kerajaan untuk membatalkan tuntutan itu, menyatakan plaintif mempunyai kedudukan undang-undang untuk memulakan saman itu.

Ganti mahu mendapatkan perintah mahkamah bahawa persetujuan penyelesaian antara IPIC dan 1MDB di London International Court of Arbitration pada 11 Mei diisytiharkan sebagai tidak sah.

Pada 26 Mac, Mahkamah Rayuan menggugurkan saman itu, mengatakan Ganti tidak mempunyai kedudukan undang-undang untuk memfailkannya terhadap 3 perayu itu.

Panel 3 hakim yang dipengerusikan Datuk Ahmadi Asnawi berpendapat tidak ada kontrak antara plaintif (Ganti) dan perayu (Najib, kerajaan dan 1MDB).

 

Najib tidak perlu fail pembelaan dalam tuntutan 1MDB

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.