Menteri: Badan siasatan bebas siasat isu gangguan seksual doktor pelatih

Menteri: Badan siasatan bebas siasat isu gangguan seksual doktor pelatih

Kementerian Kesihatan menyeru semua mangsa yang menghadapi kekerasan atau gangguan di tempat kerja membuat laporan terus kepada menteri di alamat e-mel [email protected].

Free Malaysia Today
Dzulkefly Ahmad berkata, lebih ramai pegawai perubatan, termasuk pelatih perubatan siswazah tampil membuat aduan sama kepada pejabat menteri kesihatan serta pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat. (Gambarr Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sebuah badan penyiasatan bebas ditubuhkan bagi menyiasat isu gangguan seksual terhadap pegawai perubatan siswazah oleh seorang ketua jabatan di sebuah hospital, kata Menteri Kesihatan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, badan penyiasatan itu menggabungkan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta agensi berkaitan.

Beliau berkata, penubuhan badan itu hasil mesyuarat pengurusan tertinggi KKM bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Timbalan Menteri, Hannah Yeoh lewat petang semalam, bagi membincangkan tindakan sesuai.

“Susulan pembongkaran kes ini, lebih ramai pegawai perubatan, termasuk pelatih perubatan siswazah tampil membuat aduan serupa kepada pejabat menteri kesihatan serta menteri pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat melalui pelbagai saluran.

“KKM menyeru semua mangsa yang menghadapi kekerasan atau gangguan di tempat kerja, sama ada dalam bentuk fizikal, lisan, mental atau seksual untuk membuat laporan terus kepada menteri kesihatan di alamat e-mel [email protected],” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Menegaskan KKM memandang serius isu berkenaan, Dzulkefly berkata, KKM akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam siasatan itu.

Ahad lalu, muka depan akhbar The Star bertajuk “A sex predator is in the house” melaporkan seorang ketua Jabatan Ortopedik di sebuah hospital KKM di Lembah Klang, beberapa kali membuat gangguan seksual terhadap beberapa pegawai perubatan siswazah (PPS) di bawah seliaannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.