
Timbalan Menterinya, R Sivarasa berkata pihaknya akan mendapatkan laporan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) berhubung insiden itu.
“Kita akan minta laporan serta-merta dan bincang dengan pihak terlibat seperti Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan negeri Kelantan agar satu penyelesaian diperolehi secepat mungkin dan adil kepada semua pihak,” katanya dalam sidang media di bilik media Parlimen hari ini.
Seramai 30 penduduk Orang Asli dilaporkan menghalang sekumpulan pekerja memasuki ladang durian Musang King di laluan masuk ke Pos Tohoi, Sabtu lalu dan kekecohan hampir 6 jam tamat apabila pekerja itu berpatah balik ke pekan Gua Musang.
Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan, Mustafa Along dilaporkan berkata, tindakan penduduk Orang Asli itu bertujuan mengelakkan lebih banyak tanah adat mereka dimusnahkan akibat aktiviti pertanian.
Hari ini, The Star melaporkan pekerja ladang durian itu mengadakan sekatan dekat Pos Tohoi bagi menyekat pergerakan Orang Asli.
Wakil mereka, Jimi Angah berkata, ini kali pertama orang luar mengadakan sekatan untuk menghalang mereka ke hutan.
Sivarasa berkata, pihaknya tidak boleh menerima tindakan pekerja ladang durian mengadakan sekatan itu.
“Kita mesti mengetahui apa punca masalah ini, apa punca perselisihan dan selesaikannya secepat mungkin,” katanya.
Mustafa yang turut hadir dalam sidang media hari ini berkata, mereka sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Gua Musang terhadap pekerja ladang durian itu.
“Semalam juga polis mengarahkan syarikat itu membuka sekatan yang didirikan mereka sejak 2 hari lalu.
“Syarikat itu mengadakan sekatan di depan sampai kami tak boleh keluar masuk. Guru, pelajar juga tidak boleh keluar masuk.”