Umno: Janji PH hapus tol jejas ekonomi

Umno: Janji PH hapus tol jejas ekonomi

Pemimpin Umno menyelar kerajaan berikutan laporan yang mengatakan rancangan PH mahu menghapuskan tol dalam tempoh 100 hari tidak dapat dilaksanakan.

Free Malaysia Today
Pemansuhan tol adalah antara 10 janji PH yang dikatakan akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari setelah mengambil alih kerajaan persekutuan.
PETALING JAYA:
Pemimpin Umno menyelar kerajaan Pakatan Harapan (PH) berikutan laporan mengatakan rancangannya mahu menghapuskan tol tidak dapat dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, sekali gus mengingatkan tentang implikasi kewangan langkah tersebut.

Mereka memberi respons terhadap laporan yang memetik ketua pegawai eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Datuk Shahril Ridza Ridzuan yang menyebut bahawa rancangan digariskan dalam manifesto PH itu tidak dapat dilaksanakan kerana kerajaan perlu menangani keperluan kewangan lain.

Shahril juga berkata, penghapusan tol merupakan proses yang rumit dan melibatkan banyak pihak. Usaha FMT menghubungi ahli jawatankuasa penggubal manifesto PH tidak berjaya.

Timbalan presiden Umno, Datuk Seri Mohmad Hasan berkata Barisan Nasional (BN) pernah mempersoalkan janji PH itu semasa kempen pilihan raya umum lepas, tetapi pengundi masih mahu mempercayainya.

“Separuh daripada janji mereka sukar ditunaikan. Sekiranya ia dilaksanakan juga, maka ekonomi akan terkesan.

“Sekarang rakyat boleh menilai sendiri sama ada PH hanya berjanji untuk memancing undi atau mereka merupakan kerajaan yang berwibawa.”

Mohamad, yang merupakan bekas menteri besar Negeri Sembilan berkata, kerajaan yang berwibawa akan menunaikan janji yang dibuat tanpa berkompromi ke atas ekonomi negara.

Setiausaha agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, kini jelas bahawa janji PH mahu menghapusakan tol hanyalah “muslihat” bagi mendapatkan undi.

“Mustahil PH berani menghapuskan tol kerana ia melibatkan konsesi, dan menamatkannya bermakna kerajaan perlu membayar berbilion ringgit wang negara sebagai pampasan.

“Jika ia dilakukan, maka dana awam akan dibelanjakan dan pembayar cukai mengalami kerugian.

Annuar mendakwa, kerajaan PH telah kehilangan puluhan bilion ringgit sejak mengambil alih Putrajaya, antara lain berikutan kerugian di pasaran saham, kejatuhan harga komoditi dan pengkadaran sifar cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“PH sekarang mencari-cari alasan untuk tidak memenuhi janji mereka. Akan tetapi rakyat mahu janji tersebut ditunaikan,” katanya.

Menjelang pilihan raya umum 9 Mei lepas, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan PH akan menamatkan bayaran tol di seluruh negara secara berperingkat, berdasarkan kontrak yang ditandatangani antara kerajaan dengan pemegang konsesinya.

Pemansuhan tol adalah antara 10 janji PH yang dikatakan akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari setelah mengambil alih kerajaan persekutuan.

Hapus tol rumit, perlu masa lebih 100 hari, kata CEO KWSP

PH nampaknya tak mampu hapuskan tol, kata Umno

DAP janji tiada tol, GST jika Pakatan tawan Putrajaya

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.