
“Sudah-sudahlah Kit Siang. Hentikanlah memainkan atau mahu memburukkan mana-mana agama terutama Islam demi nafsu politik anda,” kata bekas perdana menteri itu di Facebook hari ini.
Beliau menjawab cadangan menganjurkan debat “Islam bukan kleptokrasi” oleh pemimpin besar DAP itu.
Najib berkata cadangan debat daripada Lim “pelik” kerana beliau dalam kenyataan sebelum itu berkata sesiapa yang mengaitkan Islam dengan kleptokrasi patut memohon maaf.
Pertengkaran antara Lim dan Najib tercetus apabila Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu pada Sabtu mengeluarkan kenyataan bertajuk: “Pilihan raya kecil Sungai Kandis merupakan ujian penting sama ada Najib berjaya menyamakan Islam dengan kleptokrasi di Malaysia”.
Najib berkata Lim melampaui batas kerana mencadangkan kemenangan Barisan Nasional di Sungai Kandis sama seperti menyamakan Islam dengan kleptokrasi.
Lim menafikan kata-kata Najib itu, menyifatkannya sebagai “dakwaan liar, palsu dan tidak berasas”.
Najib hari ini berkata lebih baik Lim tumpu perhatian kepada menjelaskan mengapa masih banyak janji-janji pilihan raya Pakatan Harapan tidak ditunaikan, dan berikan alasan munasabah mengapa rakyat tidak perlu rasa ditipu.
“Lim sepatutnya menganjurkan debat dengan tajuk ‘Kerajaan Pakatan Harapan dan Janji Manis’ atau ‘Adakah Rakyat Ditipu Dengan Manifesto Pakatan’.”