
Raja-raja Melayu dilaporkan berkenan menubuhkan Jawatankuasa Tertinggi Institusi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan dalam usaha menambah baik semua institusi Islam peringkat Persekutuan di negara ini.
Jawatankuasa itu dipengerusikan bekas ketua setiausaha negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan timbalannya, Datuk Dr Afifi al-Akiti yang juga felo di Oxford Centre for Islamic Studies.
Manakala keahlian jawatankuasa itu terdiri daripada Profesor Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA); bekas mufti Johor, Datuk Nooh Gadot dan bekas ketua pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz.
Ahmad Sarji merupakan pengerusi Institut Kefahaman Islam (Ikim), yang dilancarkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad pada 1992, semasa bergelar sebagai perdana menteri ke-4.
Pengumuman jawatankuasa baharu itu dibuat selepas satu lagi jawatankuasa dibentuk iaitu CEP di mana beberapa cendekiawan dan aktivis Islam terkemuka ditugaskan untuk merangka cadangan pembaharuan badan Islam.
“Ini menjadi petanda bahawa konservatif tidak membenarkan pembaharuan institusi Islam berlaku dengan mudah,” sumber dekat memberitahu FMT.
Jawatankuasa baharu itu juga dilihat lebih kuat kerana ia mendapat arahan terus daripada Majlis Raja-Raja Melayu, di mana Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan bertindak sebagai urus setianya.
Satu kenyataan mengatakan keputusan penubuhan jawatankuasa tertinggi itu dicapai oleh Raja-Raja Melayu yang bersidang pada 10 Julai lalu, menjelang Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-249.
Menurutnya, ia akan mengkaji bidang kuasa badan-badan Islam persekutuan serta hal yang berkaitan dengan pentadbiran dan kuasa mahkamah syariah.
“Dalam menjalankan tugas-tugasnya, jawatankuasa tertinggi ini juga akan menerima memorandum dan berbincang dengan pihak yang berkepentingan, termasuk mereka yang sudi dengan sukarela menyampaikan pendapat masing-masing,” menurut kenyataan itu.
Penubuhan jawatankuasa tertinggi itu, menurutnya, selari dengan kedudukan Islam yang termaktub mengikut Perkara 3, Perlembagaan Persekutuan.
Selama bertahun-tahun, pemimpin Islam mempersoalkan pihak berkuasa Islam negara, terutamanya Jakim yang dilihat gemar mengenakan bentuk Islam yang lebih keras di negara ini.
Pegawai agama kerajaan yang berpengaruh juga dipersalahkan kerana mencetuskan kontroversi agama serta melarang ratusan buku mengenai topik Islam selama bertahun-tahun.
Jakim juga berada di bawah pengawasan pemimpin Barisan Nasional dan Pakatan Harapan yang menyeru pembubarannya, mengatakan kuasanya bertentangan dengan peruntukan perlembagaan dalam perkara mengenai Islam yang sepatutnya berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.