Keluarga Beng Hock masih tidak percayakan polis

Keluarga Beng Hock masih tidak percayakan polis

Pakar luar diperlukan untuk menjalankan siasatan baru ke atas kematian Teoh Beng Hock, kata kakak mendiang.

Free Malaysia Today
Teoh Lee Lan berkata, keluarganya mahu menemui peguam negara untuk menyuarakan harapan mereka supaya dijalankan siasatan baru yang bebas dan telus.
KUALA LUMPUR:
Keluarga mendiang Teoh Beng Hock berharap siasatan baru ke atas kematiannya akan melibatkan pakar dari luar pasukan polis Malaysia.

Kakak mendiang, Teoh Lee Lan memberitahu FMT, keluarganya khuatir penyiasatan polis tidak menyeluruh atau dibuat betul-betul dengan tujuan mencari kebenaran.

Lee Lan yang merujuk kepada pengumuman pihak polis bahawa kes tersebut akan dibuka semula atas arahan peguam negara berkata, ia akan menjadi penyiasatan kali ketiga.

Mayat Beng Hock ditemui pada 16 Julai 2009 di atas bumbung sebuah bangunan bersebelahan dengan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Shah Alam.

Sehari sebelum itu, mendiang dipanggil memberi keterangan kepada SPRM dalam satu siasatan berhubung dakwaan salah guna wang kerajaan negeri. Beliau merupakan pembantu pemimpin DAP, Ean Yong Hian Wah, yang merupakan anggota Exco kerajaan negeri Selangor pada waktu itu.

Selain 2 penyiasatan polis ke atas kematiannya itu, turut diadakan satu prosiding inkues dan satu inkuiri oleh sebuah Suruhanjaya Diraja.

“Akan tetapi orang yang bertanggungjawab masih bebas,” kata Lee Lan.

“Saya betul-betul tidak yakin terhadap polis walaupun sekarang kerajaan baru. Kita masih ada pasukan polis yang sama dan pasukan SPRM yang sama juga. Hanya ketuanya saja yang berbeza.

“Kami berharap kerajaan akan memastikan lebih ramai golongan profesional terlibat dalam penyiasatan. Jika tidak ada orang yang layak di sini, mereka perlu dapatkan konsultan profesional dari luar negara. Mereka boleh dapatkan pakar luar.”

Lee Lan berkata, keluarga beliau juga mendesak penglibatan pertubuhan hak asasi manusia, terutamanya Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

“Semoga dengan penglibatan mereka, kita akan menyaksikan penyiasatan yang boleh diyakini.”

Beliau dan keluarga berharap untuk bertemu peguam negara bagi menyuarakan harapan mereka supaya penyiasatan dijalankan secara telus dan bebas.

Katanya, beliau percaya penyiasatan lepas telah menemui cukup bukti untuk memulakan pendakwaan bunuh. “Daripada pemahaman saya kerajaan tahu identiti pembunuh. Polis mempunyai bukti untuk mendakwa, tetapi tidak berbuat demikian.”

Katanya beliau tidak percaya polis menghadapi kesukaran untuk menyelesaikan kes tersebut kerana tidak ada sesiapa pun yang tidak berkaitan dengan kes yang disiasat oleh SPRM itu dibenarkan memasuki pejabat badan itu ketika Beng Hock disiasat.

“Malah peguam Beng Hock juga tidak dibenarkan masuk,” katanya. “Saya fikir tentu tidak susah mencari individu yang bertanggungjawab ke atas kematiannya. Hanya ada beberapa orang bersama beliau pada malam tersebut.

Lee Lan juga bercakap tentang bedah siasat kedua ke atas mayat Beng Hock, dan berkata ia menghasilkan bukti mencukupi untuk mengesahkan beliau tidak membunuh diri.

“Malah pakar patologi tempatan bersetuju bahawa kecederaan yang ditemui di leher beliau boleh menyebabkan seseorang tidak sedarkan diri. Ini merupakan kecederaan sebelum jatuh, dan merupakan dapatan yang amat baik.”

Pada 5 Januari 2011, Mahkamah Koroner mengeluarkan keputusan terbuka atas kematian Beng Hock, dengan memutuskan ia bukan bunuh diri maupun dibunuh.

Bagaimanapun, dalam penghakiman pada September 2014, Mahkamah Rayuan menolak keputusan koroner dan mengarahkan siasatan semula. Ia menyebut, “ada pihak yang bertanggungjawabke atas kematian Beng Hock.”

Lee Lan berkata, beliau dan keluarganya tidak berasa selamat selagi “perancang” kematian adiknya tidak ditemui.

“Apa perasaan anda, jika anda tahu tiada sesiapa yang didakwa atas kematian beliau dan pelakunya masih bebas atau masih berada di SPRM?

“Beberapa tahun lepas ini sangat menyukarkan. Ibu saya sentiasa bimbang, setiap hari. Beliau mengalami mimpi buruk. Dalam tahun pertama selepas kejadian, beliau selalu menelefon bertanyakan keadaan saya atas kebimbangannya saya juga mungkin berakhir seperti Beng Hock, hilang dan mati tanpa diketahui keluarga.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.