Saifuddin mungkin rebut kerusi majlis pimpinan PKR

Saifuddin mungkin rebut kerusi majlis pimpinan PKR

Saifuddin berkata, beliau berkemungkinan besar akan menyertai persaingan merebut kerusi Majlis Pimpinan Pusat.

Free Malaysia Today
Beliau berkata, ‘kecantikan’ PKR adalah tidak mewajibkan kedudukan dalam parti sebagai syarat wajib dipilih sebagai wakil rakyat.
KUANTAN:
Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah tidak menolak kemungkinan bertanding pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dijangka berlangsung bulan depan.

Saifuddin berkata, beliau sedang “mencari ilham” jawatan yang sesuai, namun berkemungkinan besar akan menyertai persaingan merebut kerusi Majlis Pimpinan Pusat.

Saifuddin yang juga ketua setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan (PH) mengesahkan beliau tidak akan bertanding sebagai Ketua Cabang Indera Mahkota, iaitu kawasan Parlimennya.

“Bagi kawasan Indera Mahkota, saya menyatakan sokongan kepada ketua cabang sedia ada Lee Chean Chun yang telah menjalankan tugas dengan baik termasuk memimpin jentera parti pada pilihan raya umum yang lalu,” katanya.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media semasa ditemui selepas menghadiri majlis kesyukuran sempena perasmian pusat khidmat rakyat Indera Mahkota di sini, semalam.

Beliau juga menyifatkan “kecantikan” PKR adalah tidak mewajibkan kedudukan dalam parti sebagai syarat wajib untuk dipilih sebagai wakil rakyat, berbeza dengan amalan sesetengah parti.

Katanya, tradisi itu diperlihatkan pada pilihan raya lepas, yang mana PKR dan PH meletakkan ramai calon muda dan mereka yang tidak berjawatan sebagai calon.

“Ini menunjukkan amalan demokrasi matang, seperti yang diamalkan di sesetengah negara maju… asalkan calon itu berkewibawaan, mempunyai ketokohan dan boleh bekerja dia layak untuk dilantik.

“Begitu juga calon pada pilihan raya kecil Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni. Beliau tidak ada jawatan penting dalam parti tetapi berkelayakan, ada ketokohan dan dikenali masyarakat setempat,” katanya.

Berhubung pusat khidmat di Indera Mahkota 8, Saifuddin berkata ia dibuka pada Isnin hingga Jumaat pada waktu pejabat, namun perkhidmatannya akan diteruskan di luar waktu pejabat jika ada perkara yang perlukan perhatian segera.

Saifuddin berkata beliau juga akan berada di kawasan pada setiap hujung minggu bermula Jumaat, namun ia juga bergantung kepada jadual sebagai menteri yang memerlukan beliau berada di luar kawasan.

8 regu dalam pasukan Rafizi hadapi pemilihan PKR

Nik Nazmi sasar kerusi majlis pimpinan PKR, sokong Rafizi

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.