
Ini terkandung dalam e-mel yang dihantar kepada Ramasamy oleh Visuvanathan Rudrakumaran yang mengamalkan undang-undang di New York.
Visuvanathan dalam e-mel itu berkata, Ramasamy adalah seorang daripada anggota Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan yang ditubuhkan ketika proses kedamaian bagi meneroka modus untuk penyelesaian konflik di Sri Lanka.
Katanya, pada 2002, proses damai dimulakan antara LTTE dan kerajaan Sri Lanka di bawah naungan kerajaan Norway, Amerika Syarikat, United Kingdom serta Jepun.
“Perbelanjaan jawatankuasa itu seperti penginapan hotel dan perjalanan, ditanggung kerajaan Norway.
“Saya bertindak sebagai penyelaras jawatankuasa itu yang terdiri daripada ahli akademik dan pakar. Antara lain ialah Peguam Negara Sri Lanka, Shiva Pasupathy dan Ramasamy.
“Shiva mahupun Ramasamy tidak mempunyai sebarang kaitan kaitan dengan LTTE,” katanya dalam e-mel kepada Ramasamy.
Ramasamy dikritik selepas mempersoalkan keputusan Putrajaya enggan mengusir pendakwah dari India, Dr Zakir Naik yang dikehendaki New Delhi atas dakwaan terbabit dalam aktiviti keganasan dan pengubahan wang haram.
Beliau menjadi sasaran aktivis Islam, termasuk Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainul Abidin kerana didakwa mempunyai kaitan dengan LTTE, selepas gambar beliau memberi penghormatan kepada imej sepucuk senapang kalashnikov dan menyertai mesyuarat Jawatankuasa Hal Ehwal Perlembagaan tersebar di media sosial.
Tetapi, Ramasamy menafikan dakwaan itu dan berkata jawatankuasa itu ditubuhkan kerajaan Sri Lanka selepas Colombo dan LTTE memeterai perjanjian damai, serta beliau turut dijemput menganggotai jawatankuasa perdamaian di Aceh.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, Malaysia tidak akan mengusir Zakir selagi beliau yang mempunyai status penduduk tetap Malaysia, tidak menimbulkan masalah.
Polis turut menyatakan India tidak mengemukakan permohonan rasmi untuk mengekstradisi Zakir.
Polis menerima lebih 50 laporan, termasuk daripada Ramasamy sendiri, berhubung isu berkenaan.