Malaysia mahu bincang eksport durian lebih mudah ke China

Malaysia mahu bincang eksport durian lebih mudah ke China

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, protokol ketat menghalang eksport sebilangan produk pertanian Malaysia ke pasaran China yang lumayan.

Free Malaysia Today
China adalah pasaran besar bagi durian, tetapi hanya membenarkan eksport dalam bentuk produk berbungkus. (Gambar Bernama)
GEORGE TOWN:
Kerajaan Persekutuan berharap dapat menyelesaikan isu protokol pengeksportan durian Musang King, sarang burung layang-layang, ikan perhiasan dan sayur-sayuran semasa lawatan rasmi perdana menteri ke negara China minggu depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, isu tersebut menghalang usaha mengeksport produk tersebut ke China, yang merupakan sebuah pasaran yang besar.

“Negara China adalah pasaran besar yang tidak boleh kita abaikan. Dalam lawatan saya bersama-sama perdana menteri ke negara itu minggu depan, kita berharap dapat menyelesaikan isu berkaitan eksport durian, sarang burung layang-layang, ikan perhiasan dan sayur-sayuran yang gagal diatasi sebelum ini.

“Ini merupakan sebahagian isu menyebabkan produk pertanian kita tidak dapat menembusi pasaran China secara besar-besaran.

“Saya berharap kita dapat membincangkannya, bagi memudahkan produk kita memasuki China kerana pasaran di sana sangat baik. Ini adalah antara misi penting perdana menteri dalam lawatannya ke sana,” kata beliau pada sidang media semalam.

Kini katanya, China hanya membenarkan Malaysia mengeksport durian yang berbungkus dan perlu dikuarantin sebelum dijual.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijadualkan mngadakan lawatan rasmi ke China bulan depan.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau mahu membincangkan beberapa isu sempena lawatan itu, termasuk terma perjanjian beberapa kontrak besar dengan China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.