Rayuan kes ‘bin Abdullah’ akan didengari 7 hakim

Rayuan kes ‘bin Abdullah’ akan didengari 7 hakim

Kes itu akan didengari di Mahkamah Persekutuan di depan panel 7 hakim pada 18 Oktober ini kerana ia berkepentingana awam, kata peguam Nizam Bashir.

PUTRAJAYA:
Rayuan kes sama ada anak beragama Islam yang tidak sah taraf boleh menggunakan nama ayah kandung akan didengari di Mahkamah Persekutuan di depan panel 7 hakim kerana ia berkepentingan awam.

Peguam kepada ibu bapa terlibat, Nizam Bashir berkata, pendengaran semula itu ditetapkan pada 18 Oktober ini.

“Ketetapan ini selaras dengan keputusan dasar Mahkamah Persekutuan iaitu kes perlembagaan dan kes berkepentingan awam akan didengari panel hakim yang dibesarkan,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di depan timbalan pendaftar mahkamah.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum pada 12 Julai lepas mencadangkan pembentukan panel 9 anggota bagi kes perlembagaan dan panel 7 anggota untuk kes berkepentingan awam.

Richard mencadangkan ia terdiri daripada 4 hakim paling kanan manakala selebihnya dipilih melalui pengundian.

Mengikut undang-undang sedia ada, Akta Kehakiman Mahkamah hanya memberikan kuasa memilih anggota panel hakim kepada ketua hakim negara.

Pada 7 Februari lalu, ketua hakim ketika itu, Tun Md Raus Sharif, yang mempengerusikan panel 5 anggota, menangguhkan keputusan ke tarikh lain selepas mendengar hujahan para peguam.

Hakim-hakim lain dalam panel itu ialah Tan Sri Ahmad Maarop; Tan Sri Hasan Lah; Datuk Seri Balia Yusof Wahi dan Tan Sri Aziah Ali.

Dalam kes berkenaan, kanak-kanak itu dilahirkan kurang dari 6 bulan selepas ibu bapanya berkahwin, yang dianggap tidak sah taraf menurut undang-undang syariah.

Kelahiran anak itu didaftarkan 2 tahun kemudian pada 2011 mengikut Seksyen 12 Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA).

Ibu bapa dari Johor itu memohon Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memasukkan nama bapa kandung pada sijil kelahiran anak itu mengikut Seksyen 13 BDRA tetapi sijil itu tertera “bin Abdullah”.

JPN enggan menggantikannya dengan nama bapa, walaupun terdapat permohonan untuk mengeluarkan “bin Abdullah”, atas alasan anak itu tidak sah taraf.

Ini menyebabkan ibu bapa terbabit memohon semakan mahkamah di Mahkamah Tinggi pada 2016. Mahkamah Tinggi tidak memihak kepada mereka tetapi Mahkamah Rayuan menterbalikkan keputusan itu.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli berkata bidang kuasa ketua pengarah JPN bersifat sivil maka ia hanya boleh menentukan sama ada ibu bapa anak itu memenuhi semua keperluan yang ditetapkan BDRA.

Beliau berkata akta persekutuan itu terpakai ke atas semua anak-anak tidak sah taraf yang beragama Islam dan bukan Islam.

Di prosiding hari ini, Peguam Kanan Persekutuan Mazlifah Ayob mewakili JPN dan Majlis Agama Islam Johor sementara peguam Halimatunsa’diah Abu Ahmad mewakili Majlis Agama Islam Selangor dan Majlis Agama Islam Kuala Lumpur.

Mahkamah: JPN tiada hak tambah ‘Abdullah’ pada nama anak luar nikah

Isu bin Abdullah: JPN boleh berpandukan fatwa, kata peguam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.