
Bercakap kepada FMT, penganalisis jenayah Kamal Affendi Hashim berkata, penguatkuasaan undang-undang sentiasa dialu-alukan kerana ia merupakan skop tugas mereka yang menjadi barisan hadapan dalam menegakkan keadilan dan hukum.
Bagaimanapun beliau terkejut dengan sikap sesetengah pihak yang mengkritik dan bersikap negatif terhadap langkah Jabatan Imigresen itu.
“Saya terkejut dengan sikap banyak pihak yang mengaku memperjuangkan isu-isu berkaitan hak asasi manusia, tetapi pada masa yang sama lupa menyebut bahawa langkah penguatkuasaan oleh pihak berkuasa antara lain bertujuan menghalang kegiatan penyeludupan manusia dan pelbagai bentuk eksploitasi lain, katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Fortify Rights yang menyelar tindakan Jabatan Imigresen negara tidak menunjukkan sifat kemanusiaan kerana berhasrat menjadikan negara bebas imigran.
Pengarahnya Eric Paulsen berkata, buruh asing telah membantu pembangunan negara ini dengan melakukan kerja-kerja 3D (kotor, susah, dan bahaya) yang tidak akan dilakukan oleh rakyat negara ini sendiri.
“Jadi kenapa jadikan mereka sasaran?,” katanya.
“Sudah pasti akan ada banyak masalah serius selepas mereka ditangkap seperti salah tangkapan, tempoh tahanan yang lama bahkan juga kematian,” katanya.

Mengulas lanjut, Kamal berkata jika benar dakwaan yang dibuat oleh pertubuhan hak asasi manusia itu, pihak berkenaan boleh membuat tuntutan melalui saluran yang betul dan mendakwa pihak terbabit.
“Jika imigran ini menerima dan menghadapi perlakuan kejam, saya mencadangkan Fortify Rights mewakili kebajikan pekerja migran berkenaan di mahkamah dan buktikan jika tuduhan mereka benar, katanya.
“Sekiranya cara penguatkuasaan dipersoalkan, bawa isu tersebut ke saluran betul, bukannya menggunakan mahkamah pendapat awam.
“Tetapi jika undang-undang itu sendiri dipersoalkan, maka lakukan sesuatu bagi meminda atau memansuhkannya sebelum menyalahkan pegawai penguatkuasa yang hanya menjalankan tugas mereka menurut undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen,” tegasnya.
Fortify Rifgts sebelum ini menyelar ikrar Jabatan Imigresen mahu “membebaskan” negara daripada pendatang asing tanpa izin menjelang 31 Ogos depan.
Pengarah undang-undang badan hak asasi manusia itu Eric Paulsen mendakwa operasi besar-besaran begitu pernah dijalankan sebelum ini dan mengakibatkan berlakunya banyak pelanggaran hak asasi pekerja yang ditangkap, termasuk kejadian salah tangkap, serangan, malah kematian dalam tahanan.