
Beliau mengingatkan Barisan Nasional (BN) supaya tidak melupakan pengajaran rakyat menolak parti itu pada pilihan raya umum ke-14 lalu kerana mengeksploitasi agama dan kaum.
“Apakah yang mereka usahakan untuk memartabatkan Islam selama diberi kuasa berpuluh tahun sebelum mereka ditolak rakyat?” katanya dalam sidang media di bilik gerakan utama PKR Sungai Kandis hari ini.
Semalam, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dilaporkan berkata, sukar untuk Zawawi mempertahankan kedudukan Melayu, Islam dan kedudukan raja Melayu, walaupun mempunyai latar belakang agama.
“Zawawi berada di dalam sistem pentadbiran, bila dia berada dalam sistem, sukar memperbetulkan sistem itu. Tetapi, saya ini berada di luar sistem, maknanya kalau kerajaan tidak betul, saya akan beri teguran.”
Zawawi mempertahankan Pakatan Harapan (PH) dengan berkata, kerajaan baru tidak pernah meminggirkan kebajikan dan kepentingan orang Islam.
Katanya, kerajaan Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat dahulu dan PH tidak pernah mengabaikan kepentingan umat Islam.
Beliau berkata, buktinya ialah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) diberikan peruntukan besar untuk membina dan menyelenggara masjid serta surau.
“Untuk pengetahuan semua, mulai 2015 hingga 2018, sebanyak 25 masjid baru telah dibina di seluruh Selangor. Bagi tahun sama, peruntukan pembinaan dan penyelenggaraan masjid yang diterima Jais ialah RM208.824 juta.”
Zawawi berkata, kerajaan Selangor turut memperuntukkan RM16 juta untuk membina 3 maahad tahfiz dan RM52 juta untuk membangunkan Maahad Tahfiz Sains di Pandan serta Bagan Terap pada 2016.
“Kerajaan negeri tahun ini memperuntukkan RM3.5 juta biasiswa menerusi Skim Peduli Siswa Timur Tengah yang memanfaatkan 998 pelajar.
“Bagi membantu guru di sekolah rendah agama (SRA), kerajaan negeri menaikkan gaji semua guru SRA di negeri ini daripada RM745 kepada RM1,500 bermula 2008.”