Ramasamy bantu capai perdamaian, kata bekas pejuang Aceh

Ramasamy bantu capai perdamaian, kata bekas pejuang Aceh

Merakamkan rasa terperanjat ketika sesetengah rakyat Malaysia mengaitkan Ramasamy dengan terorisme, jurucakap Gerakan Aceh Merdeka berkata, beliau memainkan peranan penting dalam mendapatkan perdamaian di Acheh pada 2005.

Free Malaysia Today
Gerakan Aceh Merdeka berkata, ia menerima banyak pertolongan daripada Ramasamy dalam perundingan damai dengan Jakarka di Finland, yang membuka jalan kepada perdamaian di wilayah itu. (Gambar Facebook)
GEORGE TOWN:
Gerakan pembebasan yang memperjuangkan kemerdekaan Aceh daripada kekuasaan Jakarta hari ini mempertahankan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy sewaktu beliau dikaitkan dengan kumpulan pengganas Tamil di Sri Lanka.

Gerakan Aceh Merdeka berkata, ia menerima banyak pertolongan daripada Ramasamy dalam perundingan damai dengan Jakarka di Finland, yang membuka jalan kepada perdamaian di wilayah itu.

“Perlu kami sampaikan bahawa Gerakan Aceh Merdeka (GAM) sangat terbantu dengan keterlibatan Prof R Ramasamy dalam proses perdamaian di Helsinki,” kata jurucakap GAM, Bakhtiar Abdullah.

“Kehadiran Profesor dalam beberapa pusingan perundingan sangat penting dalam mendorong pencepatan perdamaian dan memberi nasihat yang sangat positif kepada GAM,” katanya.

GAM memperjuangkan kemerdekaan wilayah di utara Sumatera itu daripada Indonesia dari 1976 ke 2005.

Ramasamy merupakan salah seorang anggota kumpulan dari Finland yang membuka jalan kepada rundingan damai antara GAM dengan kerajaan Indonesia. Sebuah perjanjian damai ditandatangani antara kedua-dua pihak pada 2005, sekali gus menamatkan keganasan selama puluhan tahun di waliayah tersebut.

Ramasamy dalam kenyataannya hari ini menunjukkan surat darpada jurucakap GAM tersebut, yang merupakan anggota jawatankuasa perdamaian badan itu yang bertemu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri Prai itu di Helsinki.

Free Malaysia Today
Bakhtiar Abdullah.

Dalam surat itu, Bakhtiar merakamkan rasa terkejutnya bahawa terdapat pihak di Malaysia yang menuduh Ramasamy terlibat dengan kumpulan pengganas dan aktiviti haram.

“Tidak salah kalau dikatakan, tanpa kehadiran Prof P Ramasamy ke Helsinki dalam perundingan, mungkin perdamaian di Aceh akan sulit dicapai,” kata Bakhtiar.

“Bagi GAM, Profesor adalah seorang yang sangat berjasa kepada Aceh sehingga kami akan selalu mengenang segala keterlibatannya dalam memadamkan kekerasan di sini,” kata beliau.

Bakhtiar juga mengucapkan selamat bertugas kepada Ramasamy sebagai timbalan ketua menteri Pulau Pinang, sebuah negeri yang mempunyai sejarah hubungan yang baik dengan Aceh.

Ramasamy berhadapan kritikan keras beberapa aktivis Islam, termasuk Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin, berhubung kontroversi cara kerajaan mengendalikan isu Dr Zakir Naik, pendakwah dari India yang dikehendaki pihak berkuasa negara itu atas dakwaan terlibat dalam kegiatan keganasan.

Pemimpin DAP itu baru-baru ini menafikan hubungan dengan Harimau Pembebasan Tamil (LTTE) setelah gambarnya mengambil bahagian dalam mesyuarat melibatkan jawatankuasa hal-ehwal perlembagaan LTTE tersebar di media sosial.

Beliau berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan oleh kerajaan sri Lanka selepas tercapainya perjanjian damai antara Colombo dengan LTTE, dan berkata beliau juga dijemput menganggotai jawatankuasa perdamaian di Aceh.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ramasamy dan Asri, dan mereka bersetuju untuk bertemu di Putrajaya.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.