
Beliau berkata pekerja asing diambil untuk kerja-kerja yang tak perlukan pensijian vokasional, oleh itu mereka tidak akan mengambil kerja-kerja orang tempatan yang memiliki pensijilan vokasional.
Kerja-kerja untuk warga asing itu seperti pekerja pembinaan, tukang cuci dan tukang kebun.
Memetik tinjauan oleh JobsMalaysia 2.0, Kulasegaran berkata pihaknya mendapati ada banyak kekosongan kerja-kerja seperti itu berbanding pemohon, maka pengambilan pekerja asing tidak akan menjejaskan peluang orang tempatan yang bersijil.
“Pekerja asing tidak dibawa masuk untuk menggantikan orang tempatan lepasan vokasional.
“Menurut rekod, pekerja asing mengisi pekerjaan yang tidak diingini orang tempatan.
“Namun begitu, kita mesti ingat keutamaan mesti diberi kepada orang tempatan dan pergantungan kepada pekerja asing mesti dikurangkan,” katanya.
Kulasegaran menjawab pertanyaan Danyal Balagopal Abdullah (PH-Port Dickson) di Dewan Rakyat yang ingin tahu rancangan kerajaan mengalakkan majikan mengambil orang tempatan dengan mengatasi masalah seperti gaji dan hak pekerja.
Kulasegaran menambah gaji minimum RM1,500 adalah cadangan PH untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing tetapi ia matlamat jangka masa panjang yang akan dicapai dalam tempoh masa 5 tahun.
Beliau berkata tumpuan utama kerajaan ialah memastikan gaji sama di Sabah dan Sarawak, yang terkandung dalam janji 100 hari manifesto PH.
Menjawab pertanyaan tentang pengambilan tukang masak asing, Kulasegaran berkata dasar menghadkan tukang masak asing belum dimuktamadkan.
“Kita terima bantahan daripada pengusaha restoran tempatan yang berkata perubahan dasar itu tidak memberikan cukup masa kepada mereka untuk menangani masalah kekurangan tukang masak tempatan.
“Apa yang kita mahukan ialah dasar menang-menang dan oleh itu tidak dasar menyeluruh. Sebelum ini restoran dibenarkan membawa masuk pekerja asing dan dasar itu dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata kebergantungan kepada pekerja asing perlu dihentikan bagi mengelakkan kes dakwaan penipuan melibatkan Bestinet Sdn Bhd.
Menurut laporan akhbar Nepali Times, penipuan itu melibatkan fi visa dan penapisan biometrik oleh syarikat-syarikat Nepal yang mempunyai hubungan dengan Bestinet, yang membangunkan sistem pekerja asing untuk imigresen.
Laporan media juga mengaitkan Bestinet kepada bekas menteri dalam negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa ahli politik Umno, dan dengan orang tengah warga Bangladesh yang mengaut keuntungan daripada pekerja asing Bangladesh.
Bestinet dan Zahid menafikan dakwaan itu.
Tahun lepas, terdapat 1.8 juta pekerja asing, dengan 250,000 bekerja di sektor perkhidmatan, termasuk di restoran.
Pada Mac, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Mustafar Ali berkata peraturan menetapkan orang asing hanya boleh bekerja sebagai tukang masak. Restoran dan kedai kopi tidak dibenarkan mengambil pekerja asing sebagai pekerja barisan depan.
Susulan itu, 2 persatuan makanan dan minuman mewakili 21,000 ahli menyeru Putrajaya melonggarkan peraturan imigresen kerana kesukaran mendapatkan pekerja tempatan.
Pada 22 Jun lepas, Kulasegaran dilapor berkata semua restoran yang menyediakan makanan tempatan hanya boleh mengambil pekerja tempatan bermula 1 Januari.
Beliau kemudian menjelaskan syarat itu hanya terpakai ke atas kedai makanan tempatan “biasa” dan bukan restoran masakan asing, restoran mewah dan hotel-hotel 5 bintang, yang memerlukan tukang masak khas.