Kerajaan pertimbang tutup atau jenama semula KR1M 2.0

Kerajaan pertimbang tutup atau jenama semula KR1M 2.0

KPDNHEP kini sedang mempertimbangkan 3 langkah bagi menentukan masa depan Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0.

Free Malaysia Today
Menteri KPDNHEP Saifuddin Nasution Ismail berkata pihaknya sudah menerima taklimat dari pegawai kementerian dan menemui pengusaha kedai.
SHAH ALAM:
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kini sedang mempertimbangkan 3 langkah bagi menentukan masa depan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0.

Menterinya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, salah satu langkah yang sedang dipertimbangkan kementeriannya adalah menamatkan KR1M 2.0 atau melaksanakan 2 langkah lain.

“Saya sudah terima taklimat dari pegawai kementerian dan menemui pengusaha kedai rakyat, mereka juga sudah berikan maklum balas, namun saya memerlukan sedikit masa untuk buat keputusan.

“Keputusan hanya ada 3, pertama sama ada akan memberhentikannya, ke-2 meneruskannya dan ke-3 meneruskan dengan lakukan pengubahsuaian,” katanya selepas melancarkan Program Citarasa Malaysia di Tesco Shah Alam, hari ini.

Saifuddin bagaimanapun menjelaskan pengubahsuaian dimaksudkan adalah dengan melakukan penjenamaan semula termasuk beberapa langkah lain yang akan diumumkan kelak.

“Namun apa juga keputusan yang saya buat di peringkat kementerian, ianya sangat mengambil kira tujuan asal mesti dipenuhi, harga barangan mesti harga barangan rendah dan munasabah supaya rakyat dapat manfaat,” katanya.

Tambahnya, sewaktu penubuhan KR1M, sebanyak 185 premis perniagaan terlibat namun Saifuddin menyifatkan model perniagaan itu tidak seimbang hingga menyebabkan kerajaan terdahulu menamatkannya.

“Pada kemuncak program ini, ia berjaya wujudkan 185 premis perniagaan malangnya model itu tidak “sustainable” lalu kerajaan yang lepas memutuskan untuk menamatkannya. Kemudian lahir KR1M2.0 sehingga sekarang yang mempunyai 52 premis,” katanya.

KR1M diperkenalkan pada 2011, melalui kerjasama kerajaan dan pihak swasta, untuk menyediakan produk harga murah kepada golongan miskin bandar. Ia dilancarkan semula sebagai KR1M 2.0 pada Februari lalu dengan model baharu.

Inisiatif pertama dikendalikan oleh pasar raya terkemuka, Mydin, dan kini ia dikendalilah oleh Kumpulan Tunas Manja (TMG) dan KK Super Mart.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.