
Beliau berkata dakwaan itu tidak benar dan laporan itu ditulis untuk melemahkan keyakinan orang ramai pada gabungan itu.
Beliau berkata laporan itu berdasarkan sumber dan tiada bukti menunjukkan majlis penasihat melampaui batas.
“Tiada isu tentang campurtangan majlis penasihat dalam fungsi jemaah menteri seperti yang didakwa. Dakwaan itu bukan daripada menteri Kabinet; ia berdasarkan andaian.
“Jika ini daripada Khazanah, mereka itu daripada rejim dulu dan Khazanah dalam proses penstukturan semula untuk menjadikan ia lebih berkesan.
“Kabinet mempunyai kawalan penuh ke atas perkara itu dan tidak ada pun campurtangan seseorang,” katanya.
Beliau merujuk kepada perkembangan di syarikat milik kerajaan, Khazanah Nasional, yang menyaksikan 9 ahli lembaga pengarah, termasuk pengarah urusan, Tan Sri Azman Mokhtar, dan pengerusi jawatankuasa eksekutif, Tan Sri Nor Md Yusof, meletak jawatan.
Peletakan jawatan itu menyusuli kritikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Khazanah kerana menyimpang dari tujuan asal membantu Bumiputera.
Tian Chua berkata peranan Majlis Penasihat Kerajaan adalah spesifik iaitu melaksanakan reformasi institusi. Majlis itu ditubuhkan sejurus selepas pilihan raya umum 9 Mei lepas.
Laporan akhbar Singapura, Straits Times menyatakan peranan dan kuasa majlis penasihat itu kini menjadi persoalan dan kebimbangan dalam kerajaan.
Menurut laporan itu, Perbendaharaan menjadi medan hadapan dalam persengketaan dengan Daim, ketika keputusan tentang projek-projek mega dan syarikat-syarikat milik kerajaan, termasuk Khazanah, sedang dipertikaikan.
ST melaporkan spekulasi mengatakan majlis itu meminta pengurusan tertinggi Khazanah berundur dan permintaan yang sama dibuat kepada ketua-ketua di syarikat-syarikat milik kerajaan yang lain.
Perkembangan itu tidak disenangi semua orang. ST memetik seorang pegawai sebagai berkata ada cadangan meletakkan Khazanah bawah Pejabat Perdana Menteri yang sedang menunggu untuk dibincangkan.
Tian Chua berkata kunjungan Daim ke China sekadar lawatan kerja biasa kerana kerajaan PH tidak mempunyai pegawai khas seperti kerajaan BN yang melantik Tan Sri Ong Ka Ting ke China dan Tun S Samy Vellu ke India.
“Sebabnya kita ada ada duta-duta untuk melakukannya. Daim ke China untuk satu misi sahaja iaitu membincangkan isu dan mencapai satu persefahaman sebelum perdana menteri ke sana.
“Majlis penasihat tidak menentukan tindak tanduk kerajaan. Pada dasarnya, ia akan merujuk perdana menteri dan perdana menteri akan membuat pertimbangan.
“Dakwaan ada persengkataan antara jemaah menteri dan majlis penasihat adalah berniat jahat.”