Tiada hutang baru RM22 bilion, kata timbalan menteri

Tiada hutang baru RM22 bilion, kata timbalan menteri

Amiruddin Hamzah menjawab soalan Ahmad Maslan berhubung kerajaan PH membuat hutang baru mengikut maklumat yang dikeluarkan Bank Negara.

Free Malaysia Today
Amiruddin Hamzah turut mempertahankan penubuhan Tabung Harapan Malaysia yang bertujuan membantu kerajaan melangsaikan hutang. (Gambar Youtube)
KUALA LUMPUR:
Tiada hutang baru dibuat kerajaan Pakatan Harapan (PH) setakat ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah.

“RM22 bilion hutang baru oleh kerajaan baharu, saya minta ini diberi tempoh. Ini kerana setahu saya tiada hutang baharu yang dibuat.

“Melainkan melihat angka ditinggalkan kepada kita untuk kita pastikan ia dapat diselesaikan dalam keadaan baik dan tidak jejaskan peruntukan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Ahmad Maslan (BN-Pontian) di Dewan Rakyat hari ini.

Ahmad bertanya sama ada benar atau tidak kerajaan membuat hutang baharu sebanyak RM22 bilion mengikut maklumat yang dikeluarkan Bank Negara.

Mengulas perkembangan lain, Amiruddin turut mempertahankan penubuhan Tabung Harapan Malaysia (THM) yang bertujuan membantu kerajaan melangsaikan hutang.

“Untuk makluman Pontian, idea sumbangan tabung ini datang daripada rakyat. Seorang rakyat jumpa di Pejabat Perdana Menteri membawa 2 keping RM50 untuk menyumbang bagi mengurangkan hutang negara.

“Lepas itu ramai rakyat sukarela beri sumbangan kepada kerajaan. Jadi untuk pastikan tiada pihak ambil kesempatan terhadap sikap patriotik rakyat, maka kita tubuh tabung ini,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) mengenai tempoh tamat kutipan THM, Amiruddin berkata kerajaan tidak menetapkan sebarang tempoh.

“Sehingga kini kerajaan belum tetapkan bila kita nak hadkan tempoh penerimaan tabung ini.

“Buat masa ini masih ramai dan tiap-tiap hari kita masih dapat sumbangan orang ramai yang bukan saja dalam negara tapi luar negara juga melebihi RM10 juta,” katanya.

Sehingga kini lebih RM160 juta wang dikutip menerusi THM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.