
“Soal akauntabiliti tak wujud kerana mereka hanya penasihat dan tidak terikat apa-apa perundangan. Tak semestinya kerajaan kena ambil pandangan mereka.
“Isu akauntabiliti terletak pada kerajaan dan jemaah menteri. Jadi, laporan mereka tidak mengikat kerajaan. Kita akan lihat, dengar dan buat keputusan selepas itu.”
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) yang ingin tahu bila kerajaan akan membubarkan Majlis Penasihat Kerajaan yang didakwanya terlalu banyak kepincangan.
“Majlis Penasihat Kerajaan adalah satu majlis yang tak dipilih. Apakah punca kuasa majlis ini kerana ia tidak hanya beri khidmat nasihat.
“Tetapi, mereka telah panggil bekas ketua hakim negara dan beritahu beliau kena letak jawatan. Ini bukan nasihat, tapi arahan serta-merta agar letak jawatan,” kata bekas menteri belia dan sukan itu.
Majlis Penasihat Kerajaan dibentuk pada 12 Mei lalu bagi menasihati kerajaan mengenai isu ekonomi dan kewangan.
Ia diketuai bekas menteri kewangan, Tun Daim Zainuddin dan dianggotai bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, bekas ketua pegawai eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Marican, pakar ekonomi terkenal, Prof Jomo Kwame Sundaram dan taikun Tan Sri Robert Kuok.
Liew berkata, anggota Majlis Penasihat Kerajaan berkhidmat secara percuma tanpa menerima sebarang bayaran atau gaji.