Lebih sesuai Ramasamy jelaskan hubungan LTTE, kata DAP

Lebih sesuai Ramasamy jelaskan hubungan LTTE, kata DAP

Naib Pengerusi Chow Kon Yeow berkata AJK DAP P Ramasamy terlibat dalam usaha damai Sri Lanka dan Aceh.

KUALA LUMPUR:
DAP hari ini berkata lebih sesuai jika Ahli Jawatankuasa P Ramasamy menjelaskan hubungannya dengan kumpulan militan, Pembebasan Harimau Tamil Eelam (LTTE) di Sri Lanka.

Naib Pengerusi Chow Kon Yeow berkata demikian ketika ditanya apakah pendirian DAP berkenaan hubungan timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu dengan LTTE.

Chow berkata dia difahamkan Ramasamy memang ada terlibat dalam usaha damai di Sri Lanka, dan di Aceh, Indonesia, sebelum menceburi politik.

“Lebih sesuai untuk Ramasamy memberi penjelasan sejelas-jelasnya kepada mana-mana pihak yang inginkan penjelasan, sebab beliau yang mengambil bahagian dalam misi keamanan,” katanya kepada pemberita di ruang legar Parlimen.

“Saya percaya beliau akan dapat jawab,” tambahnya.

Ditanya tentang peranannya dalam misi keamanan itu, Chow cuma berkata: “Biar beliau jelaskan.”

Chow berkata pihaknya belum membincangkan perkara ini dengan Ramasamy. “Ini bukan kali pertama ia ditimbulkan.”

Ditanya sama ada DAP akan menyiasat Ramasamy, Chow berkata: “Kita boleh minta beliau beri naskah atau salinan penjelasan kepada parti untuk diteliti.”

Sebelum ini media melaporkan parti politik dan beberapa NGO mendesak siasatan terhadap Ramasamy, selepas tular gambarnya memberi penghormatan pada gambar senapang Kalashnikov, dan menerima kunjungan ahli politik India yang menyokong kumpulan pemisah Tamil di Sri Lanka.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengesahkan menerima 53 laporan polis, termasuk daripada Ramasamy sendiri, berhubung isu ini.

Mufti Perlis, Datuk Mohd Asri Zainal Abidin dilaporkan menggesa DAP menyatakan pendirian berhubung Ramasamy.

Sementara itu, Ramasamy kesal dengan gesaan Asri itu. Katanya, jika beliau seorang pengganas sudah tentu DAP tidak akan membenarkannya menyertai parti dan sudah lama ditangkap polis.

“Tidak perlu beri penjelasan pada DAP sebab sudah kenal saya lama.

Biar polis jalankan siasatan. Saya pun sudah 2 kali disoal siasat polis di Pulau Pinang,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.