
Menurut penganalisis MIDF Amanah Investment Bank Bhd, Adam Mohamed Rahim, jajaran penjualan bersih asing kekal di bawah RM200 juta sejak 2 Julai hingga 13 Julai lepas, kecuali pada 6 Julai menyaksikan pengaliran cukup tinggi iaitu sebanyak RM393.6 juta bersih, selepas tarif ke atas import China oleh Amerika Syarikat (AS) mula berkuatkuasa.
Bagi minggu yang baru berakhir kecuali Jumaat, aktiviti penjualan asing berada di bawah RM100 juta bersih kecuali pada Rabu, di mana pasaran tempatan menyaksikan aliran masuk sebanyak RM71.7 juta bersih.
Jumlah keseluruhan jualan minggu tersebut kecuali Jumaat berada pada RM182.5 juta bersih berbanding RM531.8 juta yang dicatat pada minggu lepas, katanya.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan pengaliran keluar asing masih boleh dikawal dan jika tiada sebarang cabaran lain, para pelabur asing ini akhhirnya akan kembali ke pasaran Malaysia secara berperingkat-peringkat,” katanya.
Bursa Malaysia merekodkan aliran kenaikan sejak 10 hari lepas, tetapi akhirnya susut akibat aktiviti pengambilan keuntungan Jumaat lepas.
Beliau melihat sebahagian besar daripada sokongan datang daripada dana institusi tempatan, yang agresif dalam mendapatkan saham domestik selama 7 hari berbanding 9 hari semasa peningkatan aliran baru-baru iuni.
“Amaun bersih yang dikumpulkan oleh dana institusi dalam tempoh 9 hari itu mencecah sehingga RM636.9 juta bersih manakala pelabur asing merupakan penjual bersih dengan nilai sebanyak RM714.3 juta,” katanya.
Sejak pilihan raya umum 9 Mei yang menyaksikan pertukaran kerajaan, para pelabur asing menarik keluar sebanyak RM10.8 bilion bersih, manakala minggu yang merekodkan penjualan asing bersih tertinggi adalah minggu yang berakhir 19 Mei, merekodkan aliran keluar sebanyak RM2.5 bilion.
Bagaimanapun, jika dibandingkan dengan 3 pasaran Asean lain iaitu Thailand, Filipina dan Indonesia, aliran keluar Malaysia adalah kedua terendah selepas Filipina sehingga 19 Julai 2018 dengan catatan sebanyak AS$2.06 bilion atau RM8.24 bilion.
Thailand mempunyai aliran keluar terbesar iaitu sebanyak AS$6.19 bilion, katanya.
Adam berkata aliran keluar asing di rantau ini terus akan disumbang oleh faktor luaran khususnya, kebimbangan ke atas perang perdagangan AS-China yang menjadi punca utama sebab ekuiti di seluruh dunia menjadi tidak menentu.
Selain itu, isu Brexit dan sekitar dasar AS ke atas Korea Utara yang terkait dengan penghapusan sepenuhnya senjata nuklear di Semenanjung Korea serta trend dasar-dasar kewangan global, turut menyumbang kepada ketidaktentuan pasaran.
Ketua Penyelidikan Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew turut memberikan pandangan serupa dan bersetuju bahawa kesan pengaliran keluar sudah mula berkurangan.
Berbanding dengan krisis kewangan 2013 yang menyaksikan pengaliran keluar asing daripada ekuiti tempatan sehingga mencecah kira-kira RM11.8 bilion, tahap aliran keluar yang berlaku sekarang ini adalah hampir sama.
“Pengaliran keluar ini sudah mula beransur kurang dan saya tidak akan terkejut jika ia akan berhenti tidak lama lagi,” katanya.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Malaysia memiliki ekuiti agak menarik dari sudut penilaian dan dengan nilai ringgit yang jelas sangat rendah.
“Oleh itu, para pelabur asing akan sentiasa tertarik untuk memasuki bursa tempatan.
“Satu-satunya kebimbangan adalah mengenai prospek pendapatan di tengah-tengah ketidakpastian akibat perkembangan luar negara iaitu ketegangan perdagangan serta potensi kenaikan kadar di AS,” katanya.
Ketua Ahli Ekonomi MIDF Amanah Investment Bank Dr Kamaruddin Mohd Nor dalam ulasannya mengenai prestasi ringgit, memberitahu mata wang tempatan itu melemah dan mencecah tahap psikologi pada paras 4.05, selepas menerima tekanan kenaikan dolar AS.
Katanya, komen yang kurang memberangsangkan daripada Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell mengenai langkah mengumumkan kadar faedah AS, memberi rangsangan kepada dolar AS dalam minggu ini.
Pelepasan data pengagguran AS juga memberikan sokongan kepada dolar AS termasuk langkah Rizab Persekutuan AS yang mahu meningkatkan kadar faedah 2 kali bagi baki tahun ini.
“Indeks dolar melonjak sebanyak 0.4% minggu ini dan mencecah sehingga 3.3% setakat tahun ini,” kata Kamaruddin, sambil menambah, ini terus memberikan tekanan kepada ringgit yang lesu sebanyak 0.27% berbanding dengan dolar AS dari sehingga kini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pegawai Pelaburan Hermana Capital Bhd Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata ringgit dijangka berada dalam jajaran 4.05 berbanding dolar AS pada minggu depan.
Walaupun ringgit dijangka menyusut lagi berbanding dolar AS selepas menerima tekanan daripada kadar kenaikan faedah AS, ringgit akan kekal berdaya tahan melalui sokongan aliran masuk asing,” katanya.