
Pengerusi Gesa, Ishak Saari berkata harga baru rumah Generasi 2 (Gen2) di Felcra Changkat Lada, Perak ditawarkan pada harga RM128,888 hingga RM326,888 dengan 4 jenis reka bentuk.
“Projek ini asalnya di bawah pengurusan Felcra Berhad tetapi telah berpindah urusan kepada Koperasi Peserta Felcra. Kini projek tersebut diuruskan sepenuhnya oleh Felcra Properties Sdn Bhd.
“Apabila berlaku pertukaran pengurusan, harga rumah Gen2 menjadi seperti projek perumahan komersial di luar dan ini mengakibatkan kebajikan generasi kedua diketepikan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Beliau menjelaskan tapak pembinaan projek perumahan itu sebenarnya dianugerahkan kerajaan negeri kepada generasi kedua peneroka Felcra.
“Kini projek ini telah dibuka kepada pembeli luar seperti projek perumahan komersial,” katanya.
Ishak berkata peneroka mahu kerajaan mengekalkan status tanah anugerah kerajaan negeri kepada peneroka dan menyemak semula harga rumah Gen2 agar tiada peneroka diketepikan.
“Tangguhkan pelancaran jualan rerumahan mampu milik Taman Felcra Jaya Seberang Perak Fasa 2, Changkat Lada,” katanya.