
Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood berkata antara aspek ditambah baik ialah tambahan masa mngundi selama 30 minit akan dilaksanakan dalam PRK kali ini
“Tambahan waktu mengundi selama 30 minit, iaitu dari jam 8 pagi hingga 5.30 petang. Sebelum ini wktu mengundi adalah dari 8 pagi hingga 5 petang,” katanya pada sidang media di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam di Seksyen 19.
Othman berkata 2 aspek lagi adalah bagi kemudahan pengundi berumur 60 tahun ke atas dengan SPR mewujudkan 2 saluran mengundi untuk golongan tersebut bagi mengurangkan waktu menunggu mereka.
Beliau berkata SPR juga akan menambah 21 saluran baru di pusat mengundi yang mempunyai ramai pengundi, iaitu daripada 88 saluran kepada 109 saluran.
Sebelum itu SPR mengesahkan menerima penamaan 3 orang calon untuk pilihan raya kecil kerusi DUN Sungai Kandis dijadualkan 4 Ogos depan.
Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata 3 calon itu adalah dari PKR, Barisan Nasional (BN) dan Bebas.
Ahmad Zaharin berkata calon PKR ialah Zawawi Mughni, calon BN, Datuk Lokman Noor Adam dan calon Bebas Murthy Krishnasamy.
SPR sasar 80% keluar mengundi
Othman berkata SPR juga mensasarkan 80% pengundi keluar mengundi untuk PRK kali ini.
Beliau berkata SPR berharap para pengundi akan keluar mengundi untuk menunaikan hak dan tanggungjawab mereka.
“SPR menjangkakan keputusan PRK Sungai Kandis akan diumumkan pada jam 10 malam pada 4 Ogos.
“Dengan selesai proses penamaan calon tadi, maka tempoh rasmi berkempen bermula dari hari ini hingga 11.59 malam, 3 Ogos 2018,” katanya.
Othman juga memaklumkan SPR melantik 69 orang pemerhati pilihan raya daripada kalangan anggota Suhakam, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan bagi memantau proses PRK kali ini.
“Antaranya ialah Suhakam, Bersih 2.0, Engage, Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kelab Pemikir Politik Nasional,” katanya.