
Datuk Lokman Noor Adam berkata rakan-rakannya memberitahu Wan Azizah meletakkan Zawawi tanpa mengambil kira pandangan timbalannya itu.
“Ramai rakan-rakan di Sungai Kandis tidak berpuas hati dengan calon Wan Azizah. Azmin dan rakan-rakan kecewa ia dilakukan tanpa merujuknya,” kata calon Barisan Nasional hari ini.
Pakatan Harapan menamakan Zawawi, seorang pengetua Maahad Tahfiz Al Fateh, Jalan Kebun dan setiausaha Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR untuk mempertahankan kerusi itu.
Pada pilihan raya umum lepas, PKR menang di kerusi itu untuk penggal ketiga dengan 23,998 undi menewaskan calon BN, PAS dan Parti Rakyat Malaysia.
Kerusi Sungai Kandis kosong susulan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei awal bulan lalu akibat kanser limfoma.
Lokman berkata PRK Sungai Kandis akan menjadi penanda aras kepuasan hati rakyat terhadap PH.
“Ini kerana mereka sudah mula mempertikaikan perkara yang menyentuh Islam, Bahasa Melayu dan bangsa Melayu,” kata bekas pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) ini.
Penamaan calon akan diadakan esok manakala hari pengundian pada 4 Ogos.