
Pensyarah universiti tempatan, Razleena Razali berkata gaji pensyarah mampu untuk membayar pinjaman PTPTN setiap bulan.
“Peminjam perlu membayar hutang, nak tunggu gaji RM4,000 itu mengambil masa yang lama, tetapi jika anda mula-mula kerja sudah RM4,000 bayarlah walau macam mana sekali pun.
Katanya, kerajaan perlu membuat kajian sebelum membuat janji dengan mencadangkan peminjam yang bergaji bawah RM4,000 membuat bayaran balik serendah RM50 sebulan.
“Semua ini bermula dengan sikap dalam diri kita. Hidup kena berdisipin dalam bayar hutang. Peminjam perlu kurangkan berbelanja untuk perkara yang tidak patut seperti membeli barang berjenama. Ingat, habiskan pembayaran hutang dahulu kerana hutang anda adalah penentu bagi generasi masa hadapan,” katanya kepada FMT.
Sebelum ini, Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan mendedahkan badan itu tidak tahu cara melaksanakan pelan menangguhkan bayaran pinjaman pendidikan yang dijanjikan Pakatan Harapan (PH) tanpa data gaji peminjam.
Oleh itu pengerusi PTPTN ini meminta 1.3 juta peminjam mengemaskini data pendapatan masing-masing dangan badan tersebut.
Ia selepas PH melalui manifesto pilihan rayanya berjanji menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada semua peminjam bergaji kurang dari RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam ke atas peminjam.
Menurut ejen insuran, Mohd Adib Mohd Khalid, peminjam PTPTN yang bergaji bawah RM4,000 boleh membayarnya jika mereka meletakkan komitmen hutang sebagai komitmen pertama.
Dia yang kesal dengan segelintir peminjam yang memulakan kerjaya dengan meletakkan kenderaan sebagai komitmen berkata bagaimana kerajaan akan memperoleh maklumat graduan yang bergelar suri rumah yang tiada kenaikan gaji.

“Pada saya, tidak perlulah tetapkan berapa gaji minimum yang diperlukan untuk peminjam mula membayar hutang, tetapi seeloknya berurusan dulu dengan pihak PTPTN sehingga memperoleh persetujuan jumlah minimum yang perlu dibayar.
“PTPTN tidak kejam untuk letak jumlah yang tinggi jika tahu peminjam tidak berkemampuan,” katanya.
Manakala jururawat di hospital kerajaan, Nurunnida Abdul Aziz berkata bagi jurururawat yang bergaji RM4,000 di sektor kerajaan pasti sudah ada banyak komitmen selain daripada pinjaman PTPTN.
“Bagi lepasan diploma jurururawat, selalunya mereka akan mula berkerja sebagai jururawat pada umur 22 tahun dengan gaji bawah RM3,500. Gaji mereka akan mencapai RM4000 dalam 30 tahun lagi. Sepatutnya tidak perlu menunggu gaji mereka mencapai RM4,000 baru bayar pinjaman PTPTN.
“Jika mereka dapat penangguhan, percayalah mereka selalunya pergi melancong. Sebenarnya mereka mampu untuk membayar pinjaman sekarang walaupun dengan kadar rendah. Tetapi lebih memilih untuk bergembira,” katanya yang meminta kerajaan mengkaji semula keputusan menangguhkan pembayaran PTPTN.
Bagi bekas pelajar, Muhammad Shalihin Mhd Alias, beliau berkata jika pembayaran pinjaman adalah RM150 sebulan, sebenarnya amat cukup bagi lepasan ijazah yang mendapat gaji RM2,500 sebulan, tetapi bayaran pinjaman PTPTN perlu dihadkan kepada RM250 sebulan oleh kerajaan supaya peminjam tidak terbeban untuk bayar setiap bulan.
Tanpa data gaji, PTPTN tak tahu cara laksana janji PH, kata Wan Saiful