MB arah pemaju Melaka Gateway bincang, selesai bantahan penduduk

MB arah pemaju Melaka Gateway bincang, selesai bantahan penduduk

Adly Zahari berkata, rundingan itu penting dalam mengambil kira implikasi dihadapi penduduk Kampung Portugis susulan kerja penambakan yang didakwa tidak mematuhi syor laporan alam sekitar.

Free Malaysia Today
Adly Zahari berkata, beliau turut mengarahkan exco negeri berurusan dengan pemaju Melaka Gateway dalam usaha menyelesaikan segala kemelut berhubung projek itu. (Gambar Bernama)
MELAKA:
Kerajaan Melaka hari ini mengarahkan pemaju projek Melaka Gateway mengadakan rundingan dengan penduduk Kampung Portugis dalam usaha menyelesaikan segala kemelut berhubung projek itu.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata rundingan itu penting dalam mengambil kira implikasi dihadapi penduduk kampung berkenaan, berikutan kerja penambakan yang didakwa tidak mematuhi hasil keputusan dan syor laporan alam sekitar MACRO-EIA.

“Saya menerima memorandum penduduk kampung itu dan kita memang tak nafikan memang ada sedikit (isu). Oleh itu, rundingan harus dibuat antara mereka. Selain itu, kita sudah mengarahkan exco berurusan dengan pihak pemaju,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Adly berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan negeri dengan Rohas Tecnic Berhad di Seri Negeri, Ayer Keroh, hari ini. MoU bagi naik taraf jeti Anjung Batu itu ditandatangani Adly dan Pengerusi syarikat itu, Tan Sri Azmi Wan Hamzah.

Semalam, media melaporkan lebih 200 nelayan dari Kampung Portugis berhimpun di depan pejabat KAJ Development Sdn Bhd, pemaju projek Melaka Gateway, bagi memohon kerajaan negeri mengadakan rundingan dengan syarikat itu dalam memastikan projek bernilai RM43 billion itu tidak menjejaskan hidup mereka.

Adly berkata, kerajaan negeri akan melantik jawatankuasa khas bagi memantau pelaksanaan projek itu yang dianggotai Exco Perindustrian, Pelaburan dan Perdagangan Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen; Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam Melaka, Mohd Sofi Abdul Wahab; Unit Perancang Ekonomi Negeri serta penasihat undang-undang negeri.

Mengulas MoU itu, Adly berkata, menerusi kerjasama itu, jeti Anjung Batu akan diberi nafas baru dengan meluaskan lagi kawasan terbabit, selain mentransformasikan jeti penumpang kepada jeti kargo.

“Projek berkeluasan 13.01 hektar ini dalam proses mendapatkan kelulusan dan dijangka bermula tahun depan dengan kos bernilai kira-kira RM20 juta.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.