
Prof Ahmad Fauzi Abdul Hamid, pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM) berkata Malaysia sebuah negara yang lebih maju berbanding Indonesia, dan kepakaran yang ingin dikongsikan itu perlulah lebih baik daripada yang ada di negara ini.
“Pembinaan universiti itu memerlukan kajian lebih mendalam sama ada kepakaran yang ada itu tidak ada di Malaysia.
“Kebiasaanya jika mahu membina universiti di tempat lain, biasanya negara maju akan membina universiti mereka di negara yang tidak maju bagi membantu memberi kepakaran untuk kebaikan negara itu,” katanya kepada FMT.
Ahmad Fauzi memberi contoh Universiti Nottingham yang dibina di Malaysia yang datangnya dari negara maju seperti England.
Beliau berkata adalah sesuatu yang janggal jika Uhamka dibina di Malaysia disebabkan pembangunan negara kita lebih tinggi.
“Mungkin ada kepakaran tertentu yang boleh dikongsikan, itu perlu dibentangkan. Apakah kebaikan Uhamka dalam konteks ini.
“Saya bukan nak ‘tembak’ Maszlee tetapi mungkin laporan berita itu baru peringkat awal. Perlu dibentang terma dan syarat universiti luar yang nak masuk ke Malaysia.
“Kita kena lihat jika pembentangan itu diterima atau menerima kritikan,” katanya.
Beliau berkata keutamaan seharusnya diberikan terhadap kerjasama dengan universiti tempatan.
Katanya, pembinaan Uhamka di Malaysia bermakna mereka ingin mendapatkan pelajar dari negara ini.
“Sedangkan kita nak bina Islam dengan acuan Malaysia, yang ada perbezaan dengan wajah Indonesia. Walaupun ada persamaan dari sudut masyarakat nusantara, tetapi ada juga beza dia.
“Kita boleh nampak beza dia umpama sudut 2 negara atasi ancaman keganasan. Nak bentuk acuan wajah Malaysia dengan pandangan Prof Hamka sendiri boleh mengundang kritikan,” katanya.
Hari ini dilaporkan rancangan sebuah pertubuhan Islam di Indonesia, Muhammadiyah yang mahu membina sebuah unversiti di negara ini mendapat “restu” daripada menteri pendidikan.
“Alhamdulillah, dalam pertemuan yang berlangsung di Putrajaya semalam (Selasa), menteri Malaysia sangat menyokong hasrat PP Muhammadiyah tersebut,” kata Prof Dr Suyatno memetik portal Antara News.
Menurut laporan itu lagi, jika Universiti Muhammadiyah itu berjaya dibina, ia menjadi kampus pertama pertubuhan itu di luar negara.
Setakat ini, universiti tersebut memiliki lebih 10,000 kakitangan pendidikan yang mengelola 173 kampus di seluruh republik itu yang terdiri daripada 45 universiti dan selebihnya adalah sekolah menengah, akademi dan politeknik.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Prof Dr Omar Yaakob berkata secara umum, pembinaan Uhamka di Malaysia adalah bagus dan sesuai dengan usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hub pelajaran di Malaysia.
Katanya, secara peribadi beliau terbuka dan tidak nampak ada masalah jika universiti itu dibina di Malaysia.
“Kita alu-alukan. Secara umum baguslah kalau ada negara luar dan saya tak nampak ada masalah. Tentunya mereka ada program kursus yang orang lain tak ada, tetapi mereka ada.
“Lagipun universiti itu ada cawangan yang banyak di Indonesia dan ini dapat membuka pasaran lebih besar dan Prof Hamka juga namanya harus ada di Malaysia sebagai pejuang tokoh agama,” katanya.