SST akan buat rakyat bimbang, kata Najib

SST akan buat rakyat bimbang, kata Najib

Bekas perdana menteri itu berkata tindakan kerajaan itu akan membuatkan barang naik dan penambahan 6% bagi perkhidmatan.

Free Malaysia Today
Najib Razak berkata impak yang dijanjikan dalam manifesto PH untuk kurangkan kos sara hidup tidak akan tercapai. (Gambar Youtube)
KUALA LUMPUR:
Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata penguatkuasaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) menggantikan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan rakyat.

Katanya, tindakan kerajaan meletakkan SST pada kadar 10% akan membuatkan barang naik dan penambahan 6% bagi perkhidmatan.

“Rakyat rasa bimbang dan rasa curiga dengan langkah SST kerana dijangka harga akan naik sekurang-kurangnya 10% dan 6% bagi perkhidmatan.

“Bukan 16%.. tapi 10% bagi barangan, 6% bagi bidang perkhidmatan.

“Jadi kalau ini naik, akhirnya akan beri keadaan kos kehidupan naik,” katanya di lobi Parlimen selepas perasmian serentak Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14 Dewan Rakyat dan Dewan Negara oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Beliau berkata berdasarkan pemerhatiannya, rakyat cukup kecewa apabila GST disifarkan.

“Rata-rata beri pendapat harga sebenarnya tak turun, ada juga yang turun macam harga kereta tapi umumnya harga-harga yang jadikan barangan rakyat tak turun malah ada yang naik.

“Jadi impak yang dijanjikan dalam manifesto PH bahawa mereka akan kurangkan kos sara hidup tidak akan tercapai,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan kadar SST akan dikuatkuasakan pada kadar 10% untuk jualan dan 6% untuk perkhidmatan, apabila rang undang-undang berkenaan cukai itu dijangka diluluskan di Parlimen bulan depan.

Guan Eng berkata, SST dijangka memberikan hasil sebanyak RM4 bilion.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong menyokong tindakan kerajaan Pakatan Harapan menghapuskan GST, menstabilkan harga minyak serta memberi bantuan sara hidup dalam usaha meringankan beban rakyat.

Guan Eng: SST akan kuatkuasa 10% jualan, 6% perkhidmatan

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.