Senator angkat sumpah menteri, timbalan hari ini

Senator angkat sumpah menteri, timbalan hari ini

Terdahulu mereka mengangkat sumpah senator di Dewan Negara.

KUALA LUMPUR:
Lima senator yang mengangkat sumpah di Dewan Negara hari ini dalam perjalanan ke Istana Negara di mana mereka akan mengangkat sumpah menteri dan timbalan menteri.

Mereka ialah Pengerusi DAP Johor, Senator Liew Chin Tong (timbalan menteri pertahanan);  Ketua PPBM Ketereh, Senator Mohd Radzi Md Jidin (timbalan menteri hal ehwal ekonomi); Ketua PPBM Pulau Pinang, Senator Marzuki Yahya (timbalan menteri luar negeri); Pengerusi Amanah Terengganu, Senator Raja Kamarul Bahrin Shah (timbalan menteri perumahan dan kerajaan tempatan); dan Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), Senator P Waythamoorthy (menteri perpaduan negara dan kesejahteraan sosial di Jabatan Perdana Menteri).

Mereka antara 8 individu yang mengangkat sumpah senator hari ini.

Waythamoorthy berkata dia lebih selesa bekerja dengan kerajaan sekarang berbanding dengan pentadbiran lepas.

Bercakap kepada pemberita di ruang legar Dewan Negara, dia berkata dia meninggalkan Barisan Nasional pada 2013 kerana dia merasakan gabungan itu gagal memenuhi janji.

“Saya lebih yakin kerajaan Pakatan Harapan akan menyelesaikan isu-isu melibatkan masyarakat India yang sekian lama terpinggir, serta masyarakat-masyarakat terpinggir lain,” katanya.

Beliau menambah dia pernah berbincang dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang memahami masalah kelompok terbabit dan menyokong usaha menyelesaikannya.

Raja Kamarul pula mahu melihat isu-isu setempat di Terengganu supaya negeri itu tidak terpinggir.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.