‘Cybertrooper’ bukan punca kejatuhan BN, kata penganalisis

‘Cybertrooper’ bukan punca kejatuhan BN, kata penganalisis

Wan Ahmad Fayhsal berkata 'cybertroopers' parti melakukan yang terbaik namun serangan terhadap skandal pemimpin parti menimbulkan keretakan sepanjang kempen.

Free Malaysia Today
Wan Ahmad Fayhsal berkata kepimpinan Umno perlu mengambil langkah drastik untuk melatih ‘cybertrooper’ menjadi pembangkang yang kuat dan berkesan. (Gambar facebook)
PETALING JAYA:
Kejatuhan kerajaan Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) bukan disebabkan oleh “cybertrooper” parti, sebaliknya ia dilihat memberikan impak positif kepada penyokong parti itu.

Penganalisis politik Wan Ahmad Fayhsal berkata, “cybertrooper” Umno melakukan yang terbaik untuk melenyapkan persepsi pihak lawannya dengan segala bantuan dan sokongan infrastruktur propaganda kerajaan BN.

“Kempen yang dijalankan oleh kumpulan tersebut juga mempunyai sentimen ‘kemelayuan’ yang kuat namun serangan terhadap skandal-skandal pemimpin parti tersebut telah menimbulkan keretakan sepanjang kempen berlangsung.

“Kempen mereka juga bersifat proaktif cuma banyak masalah yang disabit kepada Datuk Seri Najib Razak memang sukar untuk dipertahankan,” katanya kepada FMT.

Mengulas kelemahan kumpulan terbabit dalam perjuangan siber selepas PRU14, Ahmad Fayhsal berkata ini kerana mereka tiada lagi mendapat bantuan kewangan dan disebabkan itu, kebanyakan mereka berpecah dan memilih untuk bersama barisan kerajaan baharu.

“Tidak dinafikan, pasca PRU14, mereka dilihat tidak bersatu tetapi masih ada ‘pockets of resistance’ yang masih aktif.

“Saya percaya, selepas ini akan lahir lebih ramai pejuang siber tegar yang menyokong aspirasi Melayu-Islam Umno meskipun parti itu tidak lagi berada di puncak kepimpinan negara.”

Ditanya mengenai masa depan kumpulan tersebut, katanya, langkah drastik yang perlu diambil oleh kepimpinan Umno baharu adalah melatih mereka menjadi pembangkang yang kuat dan berkesan.

“Mereka mestilah menjadi barisan pembangkang siber yang kuat dengan mengkritik manifesto dan isu Melayu-Islam dengan adil untuk memastikan kewujudan mereka dalam arena politik tempatan berterusan.”

Sementara itu, “cybertrooper” Umno, Mohd Yusoff Daud berkata, masalah kewangan tidak pernah wujud sama sekali kerana perjuangan bersama Umno adalah bersifat sukarela dan tidak mengharapkan balasan wang ringgit.

“Kami di dalam ‘cybertrooper’ Umno adalah barisan aktivis yang memperjuangkan sentimen bangsa dan Raja-Raja Melayu agar dapat dikekalkan walaupun berada dalam negara yang berbilang kaum.

“Golongan kami terdiri daripada individu yang berkerjaya dan profesional, tiada isu upah wang atau ganjaran kerana kami lakukan atas nama bangsa dan agama.

Tambahnya lagi, tidak dinafikan, terdapat segelintir penyokong tegar parti itu yang sanggup mengeluarkan sumbangan dengan mengupah aktivis siber agar terus mempertahankan hak dan maruah bangsa Melayu di Malaysia.

“Masih awal untuk memberikan hukuman kepada masa hadapan ‘cybertrooper’ Umno kerana soal agenda dan keutamaan parti adalah lebih penting untuk diberikan perhatian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.