Saya hormat majlis, kata Khairy selepas enggan keluar dewan

Saya hormat majlis, kata Khairy selepas enggan keluar dewan

Khairy berkata keputusan atas kapasiti dirinya sendiri, selain tidak mahu mencemarkan namanya sebagai ahli parlimen pembangkang.

Free Malaysia Today
Khairy Jamaluddin berkata terdapat cara lain untuk membantah pelantikan speaker Dewan Rakyat sama ada semasa perbahasan atau selepas majlis pembukaan Dewan Rakyat esok.
KUALA LUMPUR:
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berkata tindakannnya tidak keluar daripada Dewan Rakyat bersama ahli parlimen pembangkang yang lain kerana menghormati majlis.

Beliau berkata keputusan itu dibuat atas kapasiti dirinya sendiri, selain tidak mahu mencemarkan namanya sebagai ahli parlimen pembangkang.

“Walaupun ada pertikaian berkenaan pelantikan speaker, saya berpendapat itu bukan cara kita nyatakan bantahan.

“Hari ini hari majlis angkat sumpah (ahli parlimen). Jadi perlu hormati Dewan Rakyat dan majlis angkat sumpah,” katanya ketika ditemui di Lobi Dewan Rakyat.

Khairy berkata terdapat cara lain untuk membantah pelantikan speaker Dewan Rakyat iaitu semasa perbahasan atau selepas majlis pembukaan Dewan Rakyat esok.

“Atau melalui ‘standing order’ pada Rabu. Bagi saya lebih baik hormati majlis dan tak buat apa-apa tindakan yang cemarkan imej Barisan Nasional sebagai pembangkang.

“Saya hanya cakap bagi diri saya. Saya buat keputusan yang saya rasa betul untuk hormati majlis,” katanya.

Sebelum itu pembangkang membantah pelantikan bekas hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai speaker Dewan Rakyat baharu.

Cadangan itu dikemukan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan keadaan bertukar kecoh kerana mendakwa cadangan itu tidak mengikut usul peraturan Dewan Rakyat.

Semua Ahli Parlimen pembangkang bertindak keluar dewan, kecuali Khairy.

Pembangkang, kecuali Khairy, keluar Dewan Rakyat bantah pelantikan speaker baru

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.