‘Fail tersembunyi’ LRT3 ialah mini 1MDB, kata Guan Eng

‘Fail tersembunyi’ LRT3 ialah mini 1MDB, kata Guan Eng

Menteri kewangan itu berkata, Prasarana Malaysia Bhd mengakui kos sebenar projek itu ialah RM32 bilion yang dinyatakan dalam 'hitam dan putih'.

Free Malaysia Today
Lim Guan Eng berkata, LRT3 jatuh dalam kategori fail tersembunyi dan kos sebenar projek itu ialah RM32 bilion, tetapi hanya dinyatakan sebagai RM10 bilion.
KUALA LUMPUR:
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng melabelkan projek pembinaan fasa ketiga Transit Aliran Ringan (LRT3) sebagai “mini 1MDB” kerana kos sebenar projek 37km yang menghubungkan Klang dan Petaling Jaya itu disembunyikan.

Katanya, selepas mengambil alih jawatan menteri kewangan, beliau menemui 3 isu utama, iaitu pemalsuan akaun, fail tersembunyi dan fail “merah”.

Beliau berkata, LRT3 jatuh dalam kategori fail tersembunyi dan kos sebenar projek itu ialah RM32 bilion, tetapi hanya dinyatakan sebagai RM10 bilion.

Lim berkata, syarikat pengangkutan milik kerajaan, Prasarana Malaysia Bhd tiada pilihan kecuali mengaku kos sebenar projek itu ialah RM32 bilion yang dinyatakan dalam “hitam dan putih”.

“Mereka boleh mempersoalkan kenapa rakan kongsi penyampaian projek (PDP) mengenakan caj begitu tinggi kepada mereka. Persoalan penting ialah kenapa mereka membenarkan sendiri dikenakan bayaran tinggi…mereka ialah pengawal selia.

“Kami tanya mereka kenapa mereka membenarkan harga meningkat dan tidak beritahu harga sebenar.”

Pengkritik Lim mempersoalkan RM32 bilion yang didakwanya ialah kos sebenar projek itu.

Prasarana berjanji akan mematuhi arahan Kementerian Kewangan untuk mengurangkan kos projek LRT3.

Pada 12 Julai lalu, Lim dilaporkan berkata, kerajaan jimat lebih RM15 bilion selepas meluluskan pembatalan reka bentuk stesen besar menyerupai MRT dan mengurangkan jumlah tren daripada 42 set tren 6 gerabak kepada 22 set tren 3 gerabak.

Katanya, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat mingguan Kabinet sehari sebelumnya yang menyaksikan kos asal RM31.65 bilion dikurangkan kepada RM16.63 bilion, pengurangan sebanyak 47%.

Pembinaan 5 stesen turut ditangguhkan, iaitu Lien Hoe, Temasya, SIRIM, Bukit Raja dan Bandar Botanic, sehingga wujud keperluan berdasarkan pertambahan penumpang, manakala sebuah terowong bawah tanah sepanjang 2km di Persiaran Hishamuddin, Shah Alam, dibatalkan.

Sementara itu, Lim berkata, kerajaan sedang mencapai kemajuan dalam sasaran kutipan cukai tahun ini sebanyak RM134 bilion.

Tetapi, beliau enggan mendedahkan jumlah tunggakan yang belum diperolehi kerajaan.

“Jika anda tidak bayar dan pergi ke mahkamah, ia mungkin tidak memanfaatkan anda, jadi cara terbaik ialah bayar apa yang perlu dibayar.”

Terdahulu, Lim dalam ucapannya berkata, tiada lagi serbuan pejabat oleh pegawai bersenjata ke atas syarikat yang didakwa mengelak pembayaran cukai.

“Tiada lagi taktik kasar seperti dahulu. Taktik sedemikian hanya untuk orang jahat,” katanya.

Putrajaya jimat RM15 bil projek LRT3 selepas kurangkan koc, kecilkan stesen

Prasarana akur pengurangan kos projek LRT3

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.