2 warga asing didakwa bunuh pemandu Grab

2 warga asing didakwa bunuh pemandu Grab

Lelaki Myanmar dan India itu yang masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai sayur dan kelindan lori didakwa dengan niat bersama-sama membunuh Aiman Nosri.

Free Malaysia Today
Sua Lay, 33, dan Gurpreet Singh, 23, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Melayu. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Seorang warga Myanmar dan seorang warga India didakwa di Mahkamah Majistret, Selayang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemandu Grab, bulan lepas.

Sua Lay, 33, pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan Gurpreet Singh, 23, masing-masing mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurul Izzah Hasan Basri.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua lelaki itu kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Kedua-dua lelaki itu yang masing-masing bekerja sebagai pembantu kedai sayur dan kelindan lori didakwa dengan niat bersama-sama membunuh pemandu Grab, Aiman Nosri, 27, di tempat letak kereta, lorong belakang Blok C di Taman Selayang Makmur, Selayang Baru ,Batu Caves, pada 10.08 malam, 21 Jun lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Zuhaini Muhamad Amin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam dan mahkamah menetapkan 27 Ogos untuk sebutan semula kes bagi laporan forensik dan perubatan.

Sebelum ini media melaporkan mayat mangsa yang berasal dari Nilai, Negeri Sembilan, ditemui pada 23 Jun lepas pada 8.20 malam itu berada dalam keadaan terlingkup dengan bahagian kepala mengenai lantai kenderaan tersebut, manakala kakinya di atas.

Kes bunuh pemandu Grab: Polis tahan 2 warga Myanmar

Pemandu Grab ditemui mati dalam kereta

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.