Pembangkang Sabah sertai himpunan bantah pemutihan pekerja asing

Pembangkang Sabah sertai himpunan bantah pemutihan pekerja asing

Tunjuk perasaan "Black Sunday 10" diadakan bagi membantah cadangan kerajaan menyediakan dokumentasi kepada pekerja haram di negeri itu.

Free Malaysia Today
Jeffrey Kitingan (tengah) bersama orang ramai di tunjuk perasaan Black Sunday di Kota Kinabalu hari ini.
KOTA KINABALU:
Pemimpin pembangkang menyertai tunjuk perasaan di sini hari ini bagi membantah cadangan terbaru kerajaan negeri yang mahu memutihkan pekerja-pekerja asing di Sabah.

Himpunan “Black Sunday 10” dianjurkan oleh Pemuda Parti Progresif Sabah bersama-sama Solidariti Rakyat NGO Pro Sabah (Sorak).

Tunjuk perasaan ini menyuarakan kebimbangan rakyat Sabah akan akibat daripada rancangan kerajaan itu.

Pengerusi Sorak, Jamain Sarudin berkata walaupun mereka tidak bersetuju dengan keputusan kerajan baru untuk membatalkan larangan boat pam di pantai timur dan pemberian tanah kepada setinggan, mengesahkan pekerja-pekerja asing haram sudah keterlaluan sangat.

Free Malaysia Today
Pengerusi Sorak, Jamain Sarudin bercakap kepada pemberita di tunjuk perasaan hari ini.

“Rancangan kerajaan untuk menyediakan dokumentasi sah kepada mereka menyalahi undang-undang kerana undang-undang imigresen menyatakan mana-mana orang yang tinggal melebihi tempoh visa dianggap pendatang haram.

“Oleh itu, kita anjur tunjuk perasaan ini hari ini dengan harapan kerajaan tidak akan mengesahkan mereka. Pekerja-pekerja asing haram itu sepatutnya dijejaki, ditangkap, didakwa dan dihantar pulang ke negara asal,” katanya.

Beliau berkata pendatang asing tanpa izin tidak patut berada di negeri itu lebih-lebih lagi bekerja di situ.

Dalam masa yang sama, Jamain tertanya mengapa kerajaan Sabah tidak menjalankan operasi menangkap pekerja asing haram seperti yang dilakukan di Malaysia Barat.

“Ketua Menteri Datuk Seri Shafie Apdal juga mencadangkan untuk membenarkan pekerja asing ini bawa keluarga mereka bersama. Ini bermakna mereka perlukan rumah, rawatan kesihatan, pendidikan dan bantuan-bantuan lain…ini hak rakyat Sabah, bukan untuk mereka,” kata Jamain.

Bekas menteri Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid, menyokong tunjuk perasaan ini sebagai rakyat biasa, menyifatkan rancangan kerajaan negeri itu sebagai penyelesaian jangka masa pendek.

Beliau berkata ia hanya menyumbang kepada masalah sosial di Sabah jika kerajaan negeri meneruskan rancangan itu. Kerajaan sebaliknya perlu menangani masalah kekurangan peluang pekerjaan, katanya.

“Saya sebelum ini ialah menteri pembangunan masyarakat dan hal ehwal pengguna dan saya tahu banyak masalah sosial akibat isu ini.

“Bayangkan kita benarkan anak-anak dan keluarga mereka masuk ke negeri ini…saya juga bertanggungjawab ke atas hospital dan kebajikan. Terdapat ramai orang di hospital tanpa dokumen pengenalan.

“Para doktor tidak dapat menjaga orang Sabah kerana sibuk merawat pendatang tanpa izin. Begitulah keadaannya sekarang dan jika kita mengesahkan golongan itu ia akan menjadi bertambah rumit,” kata ketua Wanita Umno Sepanggar itu.

Jainab berkata kerajaan baru menyimpang dari manifesto pilihan raya yang berjanji untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, terutama golongan belia.

“Kerajaan patut duduk dan berbincang dengan semua pihak tanpa mengira fahaman politik kerana ini demi Sabah. Mereka sebelum ini kata ‘Sabah untuk Sabah’…di mana laungan itu sekarang?”

Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee berkata himpunan ini mencerminkan hasrat rakyat yang mahu kerajaan hari ini memastikan masalah seperti itu tidak berlaku lagi seperti ketika pentadbiran Barisan Nasional.

“Ini menunjukkan orang ramai masih bimbang akan masalah pendatang asing tanpa izin walaupun di era baru.

“Mereka khuatir masalah pendatang asing tanpa izin diberi kerakyatan secara meragukan akan berlaku lagi. Anggaplah himpunan ini suara kebimbangan orang ramai,” katanya.

Free Malaysia Today
Jeffrey bercakap kepada pemberita sambil diperhatikan Jamain (kiri).

Presiden Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Jeffrey Kitingan berkata cara terbaik untuk menangani masalah pekerja asing haram ialah pengampunan.

“Kemudian beri mereka pas bekerja. Kita tidak mahu satu lagi projek I.C…itulah yang kami takut sekarang,” kata Ahli Parlimen Keningau itu.

“Ramai pendatang asing tanpa izin datang dari negara yang masih menuntut tanah negeri ini. Selagi perkara itu tidak diselesaikan, rancangan kerajaan ini berbahaya.

“Patuhi kedaulatan undang-undang dan kuat kuasa undang-undang itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.